WILLMOTT  (kanan) merembat kencang gol pertama Newport. - FOTO AFP
WILLMOTT (kanan) merembat kencang gol pertama Newport. - FOTO AFP
AFP

LONDON: "Mereka membuktikan mampu menandingi pemain kelab Championship. Kami boleh beraksi seperti ini tetapi tidak setiap minggu dalam Liga Dua,” kata pengurus Newport County, Mike Flynn selepas pasukannya menewaskan Middlesbrough 2-0 dalam aksi Piala FA, awal pagi tadi.

Robbie Willmott dan Padraig Amond menjaringkan kedua-dua gol bagi membolehkan Newport mara ke pusingan kelima menentang Manchester City di tempat sendiri pada 16 Februari ini.

Newport lebih berhak memenangi perlawanan selepas menguasai hampir keseluruhan permainan di atas padang becak akibat hujan di Rodney Parade, situasi yang pasti tidak disukai anak buah Pep Guardiola.

"Kami benar-benar cemerlang dan berhak menang malam ini,” kata pengurus Newport, Mike Flynn.

Rayuan penalti pemain tengah Middlesbrough Adam Clayton tidak diendahkan pengadil dan penjaga gol Greece berusia 40 tahun Dimitrios Konstantopoulos bekerja keras menyelamatkan gawang.

Bagaimanapun, Konstantopoulos gagal menyelamatkan rembatan Willmott dari luar kotak penalti dua minit selepas rehat dan Amond meledak gol kedua hasil hantaran sepakan sudut pada minit ke-66 sekali gus Newport mara ke saingan 16 buat kali pertama dalam masa 70 tahun.

"Mereka pasukan lebih baik dan mengatasi kami dalam semua aspek. Seperti orang dewasa menentang budak. Lupakan keadaan padang, anda perlu menandingi mereka dan itu memang mengecewakan," kata pengurus Boro, Tony Pulis.

Wolves turut terselamat dalam aksi getir selepas menang tipis 3-2 ke atas kelab Liga Satu, Shrewsbury bagi menempah pertembungan pusingan kelima menentang Bristol City.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 8:55 AM