MESSI (kanan) akan beraksi ketika Barca menentang Sevilla. FOTO/AFP
MESSI (kanan) akan beraksi ketika Barca menentang Sevilla. FOTO/AFP
Reuters

BARCELONA: Lionel Messi diketepikan Barcelona bagi aksi menentang Sevilla pada suku akhir pertama Piala Raja Sepanyol, awal pagi esok dan menyenaraikan Kevin-Prince Boateng yang melengkapkan perpindahan dari Sassuolo.

Selain Messi, jurulatih Barca, Ernesto Valverde turut tidak menyenaraikan pemain tengah, Sergio Busquets dalam usaha menjaga kecergasan pemain tonggaknya.

Musim lalu, pemain Barcelona tampak kelesuan ketika kalah 0-3 kepada AS Roma pada kempen Liga Juara-Juara yang menyaksikan kelab gergasi Sepanyol itu tersingkir di suku akhir.

Selepas menyaksikan seteru Real Madrid menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali keempat dalam tempoh lima tahun musim lalu, bekas kapten Carles Puyol berkata, kelab Catalan itu perlu ‘memikirkan semula’ keutamaan mereka.

Messi turut tidak bermain ketika Barca tewas 1-2 kepada Levante pada aksi pertama pusingan 16 terakhir Piala Raja Sepanyol tetapi meledak gol pada aksi timbal balik yang berakhir dengan kemenangan 3-0.

Bintang Argentina itu turut tidak disenarai dalam kesebelasan utama ketika aksi La Liga, minggu lalu menentang Leganes tetapi dimasukkan pada babak kedua untuk membantu pasukannya menang 3-1.

Boateng yang beraksi di posisi tengah menyerang diperkenalkan sebagai pemain Barcelona, hari ini sebelum namanya disenaraikan dalam skuad yang membuat kunjungan ke Andalusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 8:52 AM