IRFAN sudah dapat bayangan kesebelasan utama TFC. FOTO/NSTP
IRFAN sudah dapat bayangan kesebelasan utama TFC. FOTO/NSTP
Malik Muhamad


KUALA TERENGGANU: Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan eksperimen di Vietnam berhasil kerana beliau sudah dapat menilai sejauh mana keupayaan sebenar pasukannya.

Irfan yang dilabel pakar taktikal itu juga menyifatkan beberapa aksi persahabatan di Vietnam memberi peluang kepada pemainnya meningkatkan kualiti permainan sekali gus memberi bayangan kesebelasan utama pasukan menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) pada 1 Februari depan.

"Bukan keputusan diinginkan tetapi yang lebih penting adalah pemain mampu beraksi dengan baik sebagai satu pasukan sebelum aksi liga dan mereka sudah buktikan.

"Selain itu sepanjang tiga perlawanan pramusim di Vietnam ini, saya sudah dapat membayangkan kesebelasan utama pasukan bermula posisi penjaga gol hinggalah barisan penyerang.

"Kami juga sudah dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada pada setiap pemain dan pasukan khususnya untuk kami perbaiki dalam masa lebih kurang 12 hari saja lagi," kata Irfan kepada Sukan NSTP.

Walaupun hanya mencatat satu kemenangan ketika menundukkan kelab Binh Duong 3-2 manakala dua perlawanan lagi tewas kepada kelab Truong Giang 1-3 serta 3-4 kepada kelab Than Quang Ninh, secara keseluruhannya Irfan mampu menarik nafas lega melihat prestasi anak buahnya.

"Saya berpuas hati prestasi dan corak permainan diperagakan pemain, mereka beraksi dengan cemerlang dan perlawanan begitu sengit. Mereka juga menunjukkan kualiti, lebih gembira peningkatan begitu memberangsangkan dengan bermain sebagai satu pasukan dan kian serasi.

"Bagaimanapun posisi pertahanan perlu diperkemaskan lagi kerana tidak begitu agresif sebelum pertemuan dengan PKNS pada aksi pertama liga 1 Februari di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 12:01 PM