MBAPPE (kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
MBAPPE (kanan) meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Edinson Cavani dan Kylian Mbappe menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 Paris Saint-Germain di Amiens – reaksi positif kelab Perancis itu selepas kekalahan mengejut Piala Liga dan mengukuhkan kedudukan di puncak Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata.

PSG sebelum ini menyaksikan misi memburu trofi Piala Liga buat kali keenam berturut-turut terjejas selepas tewas kepada kelab bergelut Guingamp di Parc des Princes, tetapi terlalu kuat buat Amiens.

Juara Perancis itu turut mengekalkan rekod tanpa kalah liga kepada 18 perlawanan musim ini, dan 13 mata mengatasi Lille di tangga kedua yang bermain lebih dua perlawanan.

“Apa yang kami boleh menang dalam perlawanan menentang Guingamp? Tidak ada apa-apa, kami tewas dari setiap sudut,” kata pengendali PSG Thomas Tuchel.

“Jika kami menang 1-0, orang akan kata, ‘Cuma 1-0 ke atas Guingamp di Parc des Princes’, tidak ada yang akan ucapkan tahniah.

CAVANI (kiri) melepasi pemain lawan. FOTO/AFP
CAVANI (kiri) melepasi pemain lawan. FOTO/AFP

“Cabaran kami ialah melakukannya dengan penuh fokus. Sukar untuk bermain, termasuk hari ini, dengan mentaliti untuk bermula dari awal.”

Tuchel tidak membawa Neymar dalam kunjungan ke Stade de la Licorne akibat kecederaan lutut pemain Brazil itu, dan skuadnya bergelut mencipta peluang sepanjang babak pertama.

“Dia sakit di bahagian lutut dan pergerakannya terhad. Dia sudah bersama kami sejak 4 Januari.

“Dia bermain dua perlawanan. Ia terlalu berisiko, apa yang lebih penting ialah memastikan dia tidak cedera lebih serius dan mampu (berlatih) seminggu bersama kami di Doha,” katanya.

Sementara itu bekas bintang Arsenal dan Barcelona Cesc Fabregas bakal membuat penampilan sulung untuk skuad kendalian Thierry Henry, Monaco hari ini selepas menyertai kelab bergelut itu dari Chelsea untuk tempoh tiga setengah tahun.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 8:00 AM