OLE GUNNAR SOLSKJAER
OLE GUNNAR SOLSKJAER
AFP

NEWCASTLE, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer menyertai Matt Busby dalam buku rekod Manchester United ketika pasukannya menang 2-0 di Newcastle awal pagi tadi dan mengakui dia tidak mahu meninggalkan kelab itu pada musim panas.

Pengurus sementara United itu mengetuai pasukan hingga penamat musim sebelum dia dijadualkan kembali ke kelab Norway, Molde, dan kini menang semua empat perlawanan awal.

Dalam sejarah United, hanya pemain ikon dan legenda kelab, Busby mencipta pencapaian itu dan Solskjaer meraikannya dengan penyokong yang turut ke gelanggang lawan selepas gol Romelu Lukaku dan Marcus Rashford memastikan kemenangan.

“Saya tidak mahu (meninggallkan kelab ini),” kata Solskjaer apabila ditanya mengenai masa depannya selepas musim ini.

“Ia sebuah pasukan dipenuhi pemain dan suasana hebat. Tetapi ia adalah perlawanan seterusnya dan saya akan melakukan tugas saya selagi di sini.”

United akan berdepan cabaran lebih sukar selepas ini, bermula dengan kunjungan bagi saingan Liga Perdana ke Tottenham pada Ahad.

Namun selepas melihat kemenangan awal pagi tadi, Solskjaer kini melihat pengurusan pasukan sebagai keutamaannya selepas keputusan memasukkan Lukaku dan Alexis Sanchez, dua daripada bintang paling kurang menyerlah di bawah bekas pengurus, Jose Mourinho selepas 63 minit.

“Ia adalah ujian yang sukar,” kata Solskjaer mengenai persembahan Rashford. 

“Dia disepak, diterjah, dia cuba menanduk, dia menang ketika mencabar bola, dia berlari.

“Dia akan menjadi pemain nombor sembilan yang utama, itu pasti dan kami juga ada Rom (Lukaku), jadi kadangkala dia akan bermain di kanan, kadangkala di kiri, kadangkala di tengah. Dia akan mendapat masa bermain yang cukup.

“Tapi saya rasa ia masa sesuai meletakkan Rom dan Alexis, sudah tentu ia sepakan yang bagus oleh Marcus dan Romelu melakukan tugasnya selaku penyerang untuk menyambar bola yang melantun.

“Jika anda melakukannya, anda akan mendapat lima atau enam gol setiap musim secara percuma, ia memang benar.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 10:43 AM