DIEGO GODIN
DIEGO GODIN
Agensi

MADRID: Tatkala Atletico Madrid bersiap sedia meneruskan semula pemburuan trofi La Liga dengan kunjungan ke Sevilla, Ahad ini, timbul tanda tanya berhubung masa depan barisan pertahanannya yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Diego Simeone selama ini.

Kapten, Diego Godin mengetuai senarai empat pertahanan yang menjadi tembok kekuatan Atletico, namun berdepan status tidak jelas selepas menghadiahkan pelbagai kejayaan.

Godin menjadi tunjang kebangkitan Atletico dan masih dikenang sebagai penjaring yang memastikan kejuaraan gelaran La Liga 2014.

Bagaimanapun pemain berusia 32 tahun itu hanya memiliki baki kontrak enam bulan, bermakna dia bebas untuk berbincang dengan mana-mana kelab dan boleh meninggalkan kelab itu pada Januari tanpa sebarang yuran perpindahan.

'Atletico dan Godin tidak bertentang mata,' kata akhbar Sepanyol, Marca semalam sambil melaporkan pemain dan kelab membuat perjanjian mulut Ogos lalu megenai tawaran baharu selepas pemain Uruguay itu dikatakan menerima tawaran daripada Manchester United namun tiada perkembangan lanjut mengenai kontraknya.

Pertahanan kanan Sepanyol, Juanfran dan pertahanan kiri Brazil, Filipe Luis, masing-masing berusia 33 tahun, juga memiliki baki kontrak enam bulan bersama kelab yang memiliki rekod pertahanan terbaik La Liga untuk tahun keempat berturut-turut. 

Atletico kini tiga mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Ketidakpastian mengenai status tiga pemain itu menandakan perubahan dalam skuad Simeone, namun perancangan jangka panjang jurulatih itu juga menimbulkan keraguan disebabkan usaha Bayern Munich mengejar pertahanan yang memenangi Piala Dunia, Lucas Hernandez.

Laporan menyatakan Bayern bersedia membeli pemain berusia 22 tahun itu dengan harga £72 juta (RM374.66 juta) yang menggegarkan keraian Krismas Atletico seterusnya mencetuskan penafian oleh kelab Sepanyol itu.

Ketua Eksekutif, Miguel Angel Gil Marin mungkin menolak dakwaan pemain itu akan meninggalkan kelab pada Januari tetapi membuka pintu perpindahan pada Julai, manakala Hernandez tidak melakukan apa-apa untuk menafikan spekulasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 10:40 AM