MARIE BOUZKOVA
MARIE BOUZKOVA
AFP

BRISBANE, Australia: Pemain Republik Czech dari pusingan kelayakan, Marie Bouzkova mengejutkan bekas juara Terbuka Amerika Syarikat, Samantha Stosur untuk mara ke pusingan kedua kejohanan Antarabangsa Brisbane semalam yang bermula pada 2018 dan berakhir pada awal tahun baru.

Bouzkova, 20, yang menghuni ranking ke-139 dunia, bangkit untuk mencatat kemenagan 4-6, 6-2, 6-2 dan akan bertemu rakan senegara, Karolina Pliskova.

“Saya gembira mengharungi perlawanan ini. Sebenarnya saya amat gementar pada awal aksi kerana saya tidak pernah bermain di gelanggang utama tapi saya cuba bertarung kerana Sam adalah juara yang hebat jadi bukan mudah untuk melakukannya,” kata juara remaja Terbuka AS 2014 itu.

Bouzkova menamatkan saingan dengan masa dua jam 12 minit – yang menyaksikan set terakhir berlangsung 20 minit sebelum tengah malam.

Sebelum itu, Pliskova berkata, dia tidak mahu panik walaupun ketinggalan satu set dan mengatasi Yulia Putintseva pada saingan itu.

Pliskova, bekas pemain nombor satu dunia, tampak akan tersingkir awal apabila tewas berdepan Putintseva pada set pertama.

Namun dia bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk menang 4-6, 6-3, 6-4 dalam tempoh dua jam 15 minit di Arena Pat Rafter.

“Walaupun tewas satu set, saya masih positif, kerana saya rasa walaupun kalah, ia hanya jurang kecil saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 10:57 AM