PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO Reuters
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola. FOTO Reuters
AFP

MANCHESTER, England: Pep Guardiola menegaskan beliau tidak akan sesekali mengubah prinsip bola sepaknya sekalipun prestasi hambar Manchester City berterusan selepas tahun baharu.

Deretan tiga kekalahan dalam empat aksi terakhir Liga Perdana Inggeris menyaksikan skuad kendalian pengurus dari Sepanyol itu tergelincir ke tangga ketiga liga, sekali gus mencalarkan reputasi dan peluang City untuk mengekalkan kejuaraan yang diperoleh dengan pungutan rekod 100 mata musim lalu.

Kelab itu menanti kunjungan Southampton malam ini sebelum aksi penting menentang pendahulu Liverpool pada Khamis diikuti perlawanan Piala FA menentang kelab Liga Kejuaraan, Rotherham United tiga hari kemudian.

Liverpool ketika ini memiliki kelebihan 10 mata mengatasi City selepas membelasah Arsenal 5-1, awal pagi tadi.

Guardiola berkata, sekalipun City tewas tiga perlawanan berikutnya, beliau tidak akan mengendahkan corak permainan tekanan tinggi, prinsip hantaran pantas yang mencipta reputasi hebatnya sebagai jurulatih.

“Ia tidak akan berlaku. Ia tidak berlaku pada tahun pertama saya, ia tidak akan berlaku,” kata Guardiola. “Mengapa saya perlu melakukannya? Kerana saya tewas dua perlawanan? Tidak mungkin. Sudah pasti ia tidak akan berlaku.

“Perkara sama berlaku pada musim pertama saya apabila saya menjawab soalan ini, 10 atau 20 kali, apabila orang berfikir mengenai lelaki ini, mengenai apa yang dipercayainya, datang ke sini dan bermain dengan cara ini di England.

“Ia bukannya kerana saya cuba untuk menunjukkan kepada anda dengan kata-kata yang saya istimewa atau lebih baik atau unik atau perkara seperti itu. Saya mempertahankan apa yang saya percaya dan saya mempercayainya.”

City dipalit kekalahan pertama dalam kempen Liga Perdana musim ini selepas tewas 0-2 kepada Chelsea pada 8 Disember lalu tetapi mereka tampak sudah bangkit apabila menewaskan Hoffenheim dalam kancah Liga Juara-Juara.

Namun mereka sekali lagi tewas kepada Everton dalam saingan domestik sebelum mengalahkan Leicester City menerusi penalti untuk mara ke separuh akhir Piala Liga sekali gus berpeluang merangkul empat kejuaraan semusim - kejayaan yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah bola sepak Inggeris sebelum ini.

Begitupun, kekalahan berturut-turut kepada Crystal Palace dan Leicester dalam aksi liga meningkatkan kembali kekecewaan itu tetapi Guardiola menegaskan beliau berpuas hati dengan persembahan pasukannya pada babak pertama kempen musim ini.

“Kami memperoleh 44 mata pada separuh kempen musim ini. Jika anda mendapat jumlah mata yang sama pada baki kempen, ia adalah 88 mata. Dengan 88 mata, anda adalah juara. Sekurang-kurangnya, anda mempunyai angka untuk menjadi juara.

“Kebanyakan juara Liga Perdana sejak 20 tahun lalu memenanginya dengan jumlah mata yang lebih sedikit.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 8:24 AM