Farizal mahu Malaysia julang kejuaraan di Hanoi. FOTO NSTP
Farizal mahu Malaysia julang kejuaraan di Hanoi. FOTO NSTP
Daripada Aziman Rosdi di Hanoi


“KAMI tak nak cakap banyak, kami di sini nak menang!"

Itu respons penjaga gol Harimau Malaya Farizal Marlias ketika ditanya mengenai peluang mereka untuk menewaskan Vietnam pada perlawanan akhir kedua Piala AFF di Stadium Nasional My Dinh, malam esok.

Bukan mahu bersikap angkuh tapi apa yang disuarakan pemain berusia 32 tahun itu adalah bersandarkan semangat dan keyakinan dimiliki pasukan ketika ini.

Malah Malaysia sudah membuktikan ia bukan misi mustahil apabila menewaskan Vietnam 4-2 di Hanoi selepas kalah 1-2 di Shah Alam pada separuh akhir Piala AFF 2014.

“Dalam bola sepak tiada yang mustahil, kita pernah lakukannya tapi itu keputusan lepas, jadi tidak boleh terlalu memikirkannya. 

“Tapi kita berjaya bangkit selepas ketinggalan 2-0 pada final pertama di Bukit Jalil dan saya harap semangat ini dapat diteruskan,” katanya dalam sidang media praperlawanan hari ini.

Farizal antara tiga pemain selain Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat daripada skuad 2014 yang masih kekal bersama Harimau Malaya.

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak beraksi ketika Malaysia tewas 0-2 kepada Vietnam di Hanoi pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini namun beraksi cemerlang ketika mengikat Naga Emas sewaktu seri 2-2 pada final pertama di Bukit Jalil, Selasa lalu.

Tugas lebih sukar dijangka ditempuhi Farizal yang perlu berdepan jentera serangan ampuh pasukan tuan rumah yang sudah meledak 14 gol sepanjang kempen kali ini.

“Kami kena lebih fokus dan berdisiplin ketika menyerang dan bertahan. Kami kena berusaha keras lebih 100 peratus,” katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  •  

    Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 3:27 PM