TONGGAK pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
TONGGAK pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: "Saya lihat mereka (Vietnam) sukar membaca bola hantaran lintang dan kami gunakan kelemahan itu untuk meraih gol," kata tonggak pertahanan tengah skuad Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abd Radzak.

Bek berpengalaman itu berkongsi pandangannya mengenai peluang yang boleh digunakan skuad negara pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 menentang Vietnam di Hanoi, esok.

Selepas terlepas aksi perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa lalu, Aidil dijangka akan diturunkan pada perlawanan akhir kedua di Hanoi.

Aidil kini disahkan sudah pulih daripada kecederaan hamstring, sekali gus bakal bergandingan semula dengan Shahrul Saad bagi membina 'tembok besar' menghalang rangkaian penyerang Vietnam memburu gol.

Jelas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, berdasarkan analisis perlawanan di Bukit Jalil dan aksi skuad Naga Emas menentang Filipina (separuh akhir), dia berjaya mengesan 'lubuk' yang boleh dimanfaatkan bagi merobek gawang tuan rumah.

"Kita dapat lihat di Bukit Jalil, mereka agak goyah dengan situasi bola mati seperti sepakan sudut atau sepakan percuma dari sebelah tepi.

"Ini kesempatan terbaik untuk kami menjaringkan gol menerusi tandukan dan ia sudah dibuktikan oleh Shahrul Saad apabila menanduk masuk untuk gol pertama.

"Ketika mereka menentang Filipina, juga dapat dilihat pemain Vietnam gagal menghalang jaringan menerusi sepakan sudut yang ditanduk oleh pemain tinggi lampai Filipina.

"Jadi mana-mana pemain termasuk saya akan berusaha mencuba mencari gol menerusi tandukan kerana itu antara peluang terbaik kita," katanya kepada Sukan NSTP.

Jaringan menerusi tandukan bukannya asing buat Aidil yang sudah meledak beberapa gol buat JDT sejak menyertai kelab itu pada 2013 lalu.

Selain Aidil, Shahrul juga memiliki keistimewaan sama - bijak membaca bola sepakan sudut dan kelebihan itu boleh dijadikan senjata rahsia untuk memburu jaringan.

Skuad negara yang sekadar seri 2-2 pada aksi pertama berdepan tugas sukar kerana tuan rumah kini memiliki kelebihan gol di tempat lawan dan mereka hanya perlu seri tanpa jaringan di Stadium My Dinh, Hanoi.

Untuk itu, anak buah Tan Cheng Hoe hanya perlu meraih sekurang-kurangnya kemenangan 1-0 untuk mengesahkan kejuaraan selepas kali terakhir memenangi trofi pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 11:09 AM