MATA (kiri) bersaing dengan pertahanan Fulham Joe Bryan di Stadium Old Trafford, semalam. Foto AFP
MATA (kiri) bersaing dengan pertahanan Fulham Joe Bryan di Stadium Old Trafford, semalam. Foto AFP

LONDON: Juan Mata menyifatkan ‘persembahan lengkap’ Manchester United (MU) ketika menentang Fulham sebagai tonik untuk pasukan itu selepas mengharungi permulaan sukar pada musim ini.

United mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan sebelum aksi Liga Perdana Inggeris semalam, sekali gus ketinggalan jauh daripada kedudukan empat terbaik liga.

Namun, kemenangan 4-1 ke atas kelab tercorot, Fulham di Old Trafford jelas melegakan United.

Ashley Young, Mata dan Romelu Lukaku masing-masing meledak gol pada babak pertama dengan Marcus Rashford melengkapkan gol keempat, selepas Fulam merapatkan defisit menerusi Aboubakar Kamara.

Mata memberitahu MUTV bahawa persembahan dan keputusan yang diraih itu sebagai “perkara asas yang mereka perlukan.”

“Permulaan yang bagus, gol yang baik, mencipta banyak peluang, membuatkan peminat teruja dengan permainan, dengan prestasi kami,” kata pemain tengah Sepanyol itu.

“Kami sedar kami tidak berada di kedudukan yang dimahukan dan sepatutnya berada, jadi setiap perlawanan yang saya harungi, atau kami harungi, saya fikir untuk memberikan segala-galanya kepada peminat dan memberikan prestasi seperti hari ini (semalam).

“Jadi kami perlu mengharungi semua perlawanan seperti yang kami lakukan kali ini.”

United membuat empat perubahan dalam kesebelasan utama berbanding ketika mencatat keputusan seri 2-2 menentang Arsenal, pertengahan minggu lalu.

Mata adalah antara seorang daripada pemain berkenaan dan memberikan sumbangan yang penting.

Dia menjadi pemain Sepanyol ketiga menjaringkan lebih 50 gol dan merekodkan lebih 50 umpanan gol dalam sejarah Liga Perdana.

“Ia tidak terlalu teruk,” katanya.

“50 dan 50. Apabila saya tiba ke Liga Perdana beberapa tahun lalu, saya amat teruja dan amat bermotivasi mengenai tempoh saya di sini dan saya amat menikmatinya.

“Saya bertuah kerana mampu menjaringkan gol dan mencipta bantuan terhadap banyak gol tetapi saya masih belum puas.

“Saya mahu memberikan umpanan yang lebih, lebih gol, lebih kegembiraan di atas padang, jadi saya berharap saya dapat melakukannya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 12:16 AM