TORRES (kanan) jaring gol kemenangan Atletico 16 minit sebelum tamat perlawanan. -Foto Reuters
TORRES (kanan) jaring gol kemenangan Atletico 16 minit sebelum tamat perlawanan. -Foto Reuters
AFP

MADRID: Atletico Madrid memintas Valencia bagi menghuni tangga kedua La Liga dibantu jaringan sulung Fernando Torres di gelanggang baharu Wanda Metropolitano selepas menewaskan Alaves 1-0, awal pagi tadi.

Valencia begitupun kekal lima mata di belakang Barcelona, namun jatuh ke tangga ketiga selepas mencatat kekalahan kedua dalam tiga perlawanan apabila tunduk kepada Eibar 1-2.

Barca boleh kembali menjarakkan jurang kepada enam mata di hadapan Atletico selain meraih jurang besar 11 mata mengatasi Real Madrid menjelang pertembungan pertama El Clasico andai menang ke atas Deportivo la Coruna, malam ini.

Atletico mengekalkan kempen tanpa kalah dalam aksi La Liga musim ini tetapi perlu menunggu 16 minit sebelum permainan berakhir untuk merobek gawang Alaves yang sebelum ini menang dua perlawanan di bawah kendalian jurulatih baharu, Abelardo Fernandez.

Fernandez adalah pengurus ketiga dilantik Alaves musim ini dan mula menjawat tugas berkenaan, awal bulan ini.

Bekas penyerang Liverpool dan Chelsea, Torres jelas berada di prestasi yang diharapkan apabila hanya memerlukan enam minit di atas padang sebelum memecah kebuntuan selepas dimasukkan selaku pemain gantian.

Berpunca daripada hantaran Sime Vrsaljko, Torres tidak mensia-siakan peluangnya untuk meledak gol pertama buatnya dalam kempen La Liga musim ini.

Dan 10 perlawanan tanpa bolos dalam 16 aksi La Liga memastikan Atletico hanya dibezakan tiga mata di belakang Barca dan membuka jurang lima mata dengan seteru setempat, Real di tangga keempat.

Alaves pula kekal di zon penyingkiran di tangga ke-18 liga.

Ketika Atletico terus memperoleh momentum, cabaran yang dikibarkan Valencia terus tampak pudar.

Skuad dikenali Los Che itu buntu di bahagian serangan apabila kehilangan penyerang utama, Simone Zaza susulan penggantungan dan sekali pun memperoleh kembali khidmat perancang, Goncalo Guedes, ia gagal mencetus inspirasi buat skuad kendalian Marcelino Garcia Toral itu.

Peluang itu jelas dimanfaatkan Eibar yang membuka tirai jaringan menerusi voli cantik Takashi Inui pada minit ke-49.

Lapan minit kemudian, Valencia kembali menyamakan kedudukan menerusi Santi Mina yang memperoleh hantaran baik pemain pinjaman Manchester United, Andreas Pereira tetapi gagal menghalang Eibar mengutip tiga mata selepas Joan Jordan meledak gol buat tuan rumah pada minit ke-87.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 12:54 PM