Sukri bersama pemain skuad sudah melupakan episod malang. FOTO HM Digital
Sukri bersama pemain skuad sudah melupakan episod malang. FOTO HM Digital
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib dan rakan sepasukannya sudah melupakan episod malang final Sukan Asia, namun mereka diingatkan supaya tidak sesekali melupakan pengajaran yang dipelajari di Jakarta itu.

Malaysian Tigers tiba di Bhubaneswar, India, Ahad lalu bagi menghadapi Piala Dunia dan akan membuka kempen menentang pasukan nombor empat dunia, Belanda, Sabtu ini.

Selain Belanda, Kumpulan D turut disertai Jerman (ranking keenam) dan Pakistan (ke-13).

Malah, skuad bimbingan Roelant Oltmans sudah merasai suasana Stadium Kalinga apabila berentap dengan Perancis dalam aksi pemanas badan, malam tadi.

“Kami hanya beraksi dua suku permainan dan tewas 0-1 kepada Perancis, tapi ia adalah pemanas badan yang baik dan kami berpeluang menguji padang sebelum kejohanan bermula.

“Keadaan padang di sini baik, tapi ia sedikit berat (bola bergerak perlahan) dan kami perlu mengubah sedikit corak permainan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan ini,” kata Sukri.

Malaysia sebelum ini terpaksa membayar harga yang mahal apabila mensia-siakan peluang di Sukan Asia yang menawarkan slot automatik ke Sukan Olimpik 2020 buat pemenang pingat emas.

Selepas mendahului 5-2, Malaysian Tigers gagal mempertahankan kedudukan itu dan membenarkan Jepun bangkit mengikat 6-6 sebelum tumbang 1-3 menerusi penentuan penalti.

Jepun yang layak atas dua tiket sebagai tuan rumah dan pemenang pingat emas Sukan Asia, bagaimanapun tidak beraksi pada Piala Dunia kali ini.

“Saya masih ingat apabila Razie (Rahim) menjadikan kedudukan 6-5 ketika perlawanan berbaki dua minit.

“Kami hanya dua minit dipisahkan daripada aksi Olimpik, tapi Jepun kembali mengikat kedudukan (hanya 17 saat sebelum semboyan dibunyikan) untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti,” jelas Sukri.

Sukri pernah mengalami beberapa kekecewaan sepanjang berkhidmat buat negara, tatkala kempen Piala Dunia 2014 turut berkesudahan dengan penuh memeritkan buatnya.

“Malaysia kalah semua tiga perlawanan kumpulan dan mengakhiri saingan di kedudukan terakhir kejohanan - tangga ke-12.

“Tapi ia (Sukan Asia) paling menyakitkan dan kami berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan sebegitu apabila mendahului.

“Kami kini diberi penekanan oleh jurulatih (Oltmans) bagaimana menguruskan keadaan ketika ketinggalan dan juga ketika mendahului.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 4:55 PM