SKUAD hoki lelaki negara mendengar arahan ketika aksi menentang NSWIS di Pusat Hoki Gold Coast. - Foto E-mel
SKUAD hoki lelaki negara mendengar arahan ketika aksi menentang NSWIS di Pusat Hoki Gold Coast. - Foto E-mel
Naqib Nor Said


KAPTEN skuad hoki lelaki negara, Sukri Mutalib menegaskan masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki Malaysian Tigers menjelang pertemuan sulung Sukan Komanwel menentang England di Pusat Hoki Gold Coast, Jumaat depan.

Perkara itu disuarakan Sukri selepas membantu skuad negara mengatasi New South Wales Institute of Sports (NSWIS) 4-2 dalam aksi pemanas badan pertama di sana sebentar tadi.

Bagaimanapun, skuad kendalian Stephen Van Huizen itu nyaris dikejutkan kelab utama Australia itu selepas pada satu ketikanya membenarkan lawan bangkit mengikat kedudukan 2-2.

Namun, dua jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Ab Jalil dan masing-masing satu gol oleh Fitri Saari dan Razie Rahim memastikan skuad negara mendapat suntikan moral terbaik menjelang aksi menentang England.

"Walaupun meraih kemenangan 4-2 ke atas NSWIS, sebenarnya masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki kerana pasukan yang akan ditemui dalam kejohanan nanti adalah lebih sukar.

"Tetapi pujian wajar diberikan kepada rakan sepasukan kerana tidak patah semangat walaupun lawan kembali mengikat aksi 2-2, malah kami berjaya mengawal emosi dengan baik biarpun ada beberapa provokasi berlaku pada perlawanan hari ini," kata Sukri.

Dalam perkembangan sama, Sukri yang akan tampil beraksi buat kali kedua pada temasya kedua terbesar dunia itu mengakui bahawa pasukannya kini sudah menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan venue pertandingan.

"Pemain sudah menyesuaikan diri sepenuhnya di sini dan ia satu perkembangan positif."

Malaysia yang menduduki ranking ke-12 dunia akan bertemu NSWIS sekali lagi Sabtu ini sebelum melengkapkan sesi pemanas badan terakhir menentang pasukan nombor satu dunia yang juga tuan rumah, Australia Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 9:10 PM