PUEL mahu pemainya cipta momentum kemenangan. FOTO/AGENSI
PUEL mahu pemainya cipta momentum kemenangan. FOTO/AGENSI
AFP

LONDON: Pengurus Leicester City Claude Puel berkata, pasukannya perlu terus memandang ke hadapan selepas kematian pemilik kelab Vichai Srivaddhanaprabha yang terbabit kemalangan helikopter pada 27 Oktober lalu.

Penghormatan diberikan ketika menentang Cardiff di tempat lawan seminggu selepas itu sebelum Puel dan pemain terbang ke Bangkok bagi menghadapi upacara pengkebumian Vichai.

Mereka kembali dengan meraih keputusan seri tanpa jaringan menentang Burnley di Stadium King Power pada 10 November.

Pemain kini kembali ke kelab selepas rehat antarabangsa dan bakal berkunjung ke Brighton esok tetapi menurut Puel betapa sukar sekali pun mereka perlu terus fokus kepada bola sepak.

"Adalah penting mempunyai konsentrasi untuk memperbaiki prestasi,” katanya. "Jasa pengerusi tetap dalam ingatan tetapi sekarang perlu fokus kembali kepada bola sepak.

"Dua minggu lalu pemain mungkin sukar melupakan apa yang berlaku tetapi selepas tamat misi kebangsaan mereka kembali dengan ceria ketika berlatih bersama rakan sepasukan.”

Bagaimanapun, penyerang Jamie Vardy belum pasti dapat beraksi menentang Brighton selepas belum pulih daripada kecederaan pangkal paha dialami ketika menentang Burnley.

Bekas juara Liga Perdana itu kini berada di tangga ke-10 liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 8:06 AM