MOHD YUSOFF MAHADI
MOHD YUSOFF MAHADI
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Naib juara Liga Perdana, FELCRA FC tidak digantung sekalipun membuat keputusan untuk menarik diri daripada bersaing dalam Liga Super musim depan.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan skuad ‘The Rivals’ itu menarik diri sebelum tarikh pengesahan pasukan sekali gus ‘terlepas’ daripada hukuman terhadap pasukan yang menarik diri.

“Tindakan hanya akan diambil kepada pasukan yang sudah mengesahkan penyertaan untuk bertanding tapi mereka menarik diri pada saat akhir ketika saingan liga hampir bermula.

“Bagi kes ini, selalunya FAM akan mengenakan penggantungan selama tiga tahun sebelum mereka boleh mula kembali beraksi dalam kancah bola sepak tempatan.

“Tapi bagi FELCRA FC, mereka menarik diri lebih awal dan ini memudahkan kerja FAM untuk mencari pasukan menggantikan mereka. Jadi mereka tidak dikenakan sebarang penggantungan,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP, hari ini.

Skuad bimbingan Tarcisio Pugliese itu mula menyertai saingan Liga Perdana musim ini dan berjaya ‘dinaikkan pangkat’ menyertai Liga Super selepas menamatkan saingan di tangga kedua di belakang FELDA United.

Bagaimanapun, kekurangan dana untuk beroperasi menjadi punca pasukan itu terpaksa melupakan kancah elit bola sepak tempatan musim depan.

Situasi itu diakui Timbalan Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad yang menjelaskan jumlah tajaan ditambah geran diterima daripada badan induk itu masih belum mencukupi untuk menguruskan pasukan.

Jelasnya, tindakan menarik diri sebelum musim baharu bermula juga dirasakan wajar sekali gus mengelak berlakunya masalah di pertengahan liga sekiranya pasukan itu terus berdepan kekangan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 6:26 PM