Irfan dan Zulfiqar akan beraksi di Doha. FOTO NSTP
Irfan dan Zulfiqar akan beraksi di Doha. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


SERAMAI sembilan atlet olahraga negara bakal mengibarkan cabaran di Kejohanan Olahraga Asia Doha, Qatar yang dijadual pada 21 hingga 24 April ini.

Namun persoalannya mampukan atlet yang mengibarkan cabaran negara itu memperbaiki pencapaian dua tahun lalu iaitu satu pingat perak menerusi jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Irfan sekali lagi menjadi pertaruhan terbaik skuad olahraga negara yang akan berlepas ke Doha, malam ini selepas ketiadaan pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan yang berjaya mara hingga peringkat akhir ketika kejohanan itu berlangsung di Bhubaneswar, India, dua tahun lalu.

Bagaimanapun peluang buat pelari pecut Muhammad Zulfiqar Ismail yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara pecut 100m mengulangi pencapaian Khairul dilihat berliku apabila dia sekali lagi perlu berdepan dengan jaguh dari Indonesia yang juga juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri selepas tewas di Kejohanan Terbuka Malaysia, bulan lalu.

Kemampuan Lalu yang sentiasa konsisten dalam mencatatkan masa meletakkan dia sebagai calon utama dalam perebutan pingat selain daripada atlet tuan rumah serta beberapa pelari negara Asia yang lain seperti China dan Jepun.

"Saya teruja untuk beraksi namun dalam pada masa yang sama sedikit berdebar.

"Tapi kejohanan di Doha ini adalah peluang terbaik saya bersaing dengan mereka yang terbaik.

Saya akan cuba sekurang-kurangnya memperbaiki catatan masa peribadi selain akan berusaha mara hingga ke peringkat akhir," katanya yang mencatatkan masa terbaik peribadi 10.40 saat.

Tegas pelari itu, dia perlu melakukan sesuatu sekiranya mahu kedudukannya untuk mewakili negara ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini terjamin biarpun sudah melayakkan diri.

Dalam kejohanan di Doha, Zulfiqar akan mengambil bahagian dalam acara 100m manakala Russel Alexander Nasir Taib bersaing untuk acara 200m.

Lima lagi nama atlet olahraga negara yang terpilih menyertai Kejohanan Olahraga Asia ialah dua jaguh lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa serta Lee Hup Wei.

Pemegang rekod kebangsaan lompat kijang lelaki, Muhammad Hakimi Ismail turut terpilih bersama jaguh lontar tukul besi negara, Jackie Wong Siew Cheer.

Sementara dua lagi atlet muda olahraga negara ialah Andre Anura Anuar yang akan menyertai acara lompat jauh serta atlet lompat kijang wanita, R Kirthana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 2:01 PM