RAKITIC alami kecederaan. FOTO/AGENSI
RAKITIC alami kecederaan. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Pemain tengah, Ivan Rakitic terlepas aksi penting menentang England di Wembley malam esok dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah kerana kecederaan, menurut pengendali Croatia, Zlatko Dalic.

Pemain tengah Barcelona itu dikeluarkan pada minit ke-67 ketika tuan rumah mengatasi Sepanyol 3-2 dan menghidupkan peluang Croatia dalam Kumpulan 4, Liga A untuk memburu tiket ke separuh akhir tahun depan.

"Dia akan ke Barcelona, ia adalah kecederaan yang serius. Saya tidak akan mengambil risiko. Jika terdapat kemungkinan kecederaan boleh menjadi lebih serius, kami akan merehatkan dia," kata Dalic.

"Kami mahukan pemain yang cergas dan ketika ini dia tidak berada dalam tahap 100 peratus. Malangnya, kami akan bermain tanpanya."

Rakitic, 30, sudah beraksi 102 perlawanan untuk Croatia namun Dalic mendakwa mereka mempunyai pemain yang berkemampuan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan.

"Kami akan menilai pemain yang menggantikannya. Kami mempunyai (Mateo) Kovacic, (Josip) Brekalo dan (Milan) Badelj," katanya.

"Jalan penyelesaian sentiasa ada dan kami tidak perlu berbicara tentang pemain yang tidak akan beraksi. Kami akan mencari jalan penyelesaian dan ke Wembley untuk menikmati aksi bola sepak."

Pemenang perlawanan akan meraih tiket ke separuh akhir dengan pasukan yang tewas tersingkir ke Liga B. Keputusan seri akan membolehkan pendahulu meraih kedudukan teratas Kumpulan 4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 2:29 PM