JIM PALLOTTA
JIM PALLOTTA
AFP

ROME: Roma mendedahkan yang mereka akan menyumbang 150,000 euro (RM712,238) kepada keluarga penyokong Liverpool, Sean Cox yang menderita kecederaan otak selepas diserang penyokong Roma.

Cox yang juga bapa kepada tiga anak dalam perjalanan menyaksikan separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield April lalu ketika diserang dua penyokong tegar Roma.

Cox mengalami kecederaan otak daripada serangan itu dan ketika ini masih belum boleh bercakap ataupun duduk.

“Apa yang berlaku kepada Sean Cox seharusnya tidak berlaku kepada sesiapapun yang ingin menyaksikan perlawanan bola sepak,” kata presiden kelab, Jim Pallotta dalam satu kenyataan.

“Pemikiran kami hari ini, seperti berlaku sejak hari pertama, bersama Sean, Martina dan seluruh keluarganya. Kami berharap Sean dapat sembuh secepat mungkin.”

Pegawai kelab terbang ke Ireland untuk bertemu isteri Sean, Martina dan wakil mereka membantu menguruskan usaha kutipan dana dilakukan keluarga itu.

“Kehidupan kami seperti terbalik dengan apa yang berlaku kepada Sean,” kata isterinya, Martina. “Tidak ada tanda yang Sean akan dapat pulang ke rumah dalam masa terdekat ini dan biarpun dengan usaha berterusan dilakukan pakar yang akan mengambil tempoh bertahun-tahun, dia mungkin memerlukan penjagaan rapi di sepanjang hidupnya.”

“Kami sangat menghargai sumbangan AS Roma hari ini dan Pallotta, lebih-lebih lagi dengan bantuan bagi membantu tahun-tahun mendatang yang perlu diharungi Sean.”

Roma berkata, mereka menyumbang 100,000 euro (RM474,825) menerusi Yayasan Kebajikan Roma manakala Pallotta menghulurkan sumbangan peribadi bernilai 50,000 euro (RM237,412).

“Selain sumbangan kewangan, Roma juga bersetuju untuk bekerja bersama keluarga Cox untuk inisiatif kutipan bagi membantu mengurangkan kos akan datang yang ditanggung Sean pada masa akan datang,” kata kelab itu.

Satu laman GoFundMe juga dibina bagi mengumpul dana menanggung kos perubatan Cox yang menyaksikan ramai penyokong Itali turut menghulurkan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 11:50 AM