HAFIZH akan melakukan aksi terakhir bersama gabungan Tech3 dan Yamaha di Valencia. FOTO/NSTP
HAFIZH akan melakukan aksi terakhir bersama gabungan Tech3 dan Yamaha di Valencia. FOTO/NSTP
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Kejuaraan Motosikal Dunia 2018 semakin menghampiri penghujung saingan dengan perlumbaan akhir musim dijadual berlangsung di Grand Prix (GP) Valencia, hujung minggu ini.

Tahun ini, Malaysia mempunyai wakilnya dalam kelas MotoGP menerusi Hafizh Syahrin Abdullah yang jelas mempamerkan prestasi positif pada musim pertamanya beraksi dalam kelas perdana itu.

Dan, perlumbaan Pusingan 19 di Sirkit Ricardo Tormo, Ahad ini juga akan menjadi 'pentas pemisah' buat pasukan disertai Hafizh, Tech3 bersama pengeluar Yamaha selepas 20 tahun berganding bahu.

Selepas ini, Hafizh dan Tech3 akan bekerjasama dengan KTM, dan Hafizh bersama rakan pasukan yang baharu dari Portugal, Miguel Oliveira bakal menggunakan jentera KTM RC16.

Bagaimanapun, Hafizh masih berbaki satu tugasan bersama jentera Yamaha YZR-M1 di Valencia.

Kali ini, dia meletakkan sasaran mahu menamatkan perlumbaan 27 pusingan itu di depan kesemua pelumba muka baharu bagi musim ini, selepas aksi menarik dipamerkannya di GP Malaysia, baru-baru ini.

Hafizh yang menamatkan perlumbaan di Sirkit Antarabangsa Sepang di tempat ke-10 selepas bermula dari petak belakang berkata: "Kini, saya hanya memberi tumpuan untuk mempertingkatkan keupayaan diri dan saya mahu memberikan persembahan menarik sebelum menamatkan musim ini bersama Yamaha.

"Saya mahu menamatkan saingan di depan kesemua pelumba baharu untuk pusingan terakhir ini. Saya tidak sabar untuk tiba di Valencia dalam posisi yang baik ketika ini. Saya bersedia dan berharap semuanya berlangsung dengan baik."

Sementara itu, pengurus pasukan Tech3, Herve Poncharal menggambarkan perlumbaan di Valencia ini sebagai detik yang penuh emosi buat mereka.

"Ia satu penghargaan buat kami, satu perjalanan yang hebat, kami mencapai beberapa kejayaan mengagumkan dan meskipun ia adalah keputusan kami untuk melakukan perubahan, ia jelas sebagai satu perlumbaan yang sangat beremosi buat kami.

"Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Yamaha Motor Cooperation Jepun atas sokongan diberikan, persahabatan, dedikasi dan sikap memahami diberikan mereka kepada kami untuk terus berkembang.

"Tanpa Yamaha, Tech3 tidak akan berada di mana kedudukan kami ketika ini. Kami membantu antara satu sama lain.

“Saya sentiasa katakan, kejayaan hadir menerusi kestabilan dan ini ditunjukkan menerusi hubungan kami dengan Yamaha," kata Poncharal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 8:15 PM