PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
PELUMBA Monster Yamaha Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah. FOTO Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao
Sukhairi Thani


SELEPAS berakhirnya Grand Prix (GP) Sepanyol semalam, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Monster Yamaha Tech3 kini memberi tumpuan untuk menggegar  laman sendiri pasukan di Sirkit Le Mans, 20 Mei ini.

Hafizh yang masih diulit kecederaan selepas latihan berbasikal minggu lalu menamatkan perlumbaan di tangga ke-16 manakala rakan sepasukannya Johann Zarco meraih penamat di podium buat kali kedua di belakang pemenang dari Repsol Honda, Marc Marquez selepas empat perlumbaan musim ini.

"Saya mohon maaf kepada mereka (pasukan) tetapi sasaran kami untuk cuba menamatkan perlumbaan dan terus belajar serta kami sudah melakukannya," kata Hafizh.

"Tambahan pula kami amat hampir dengan penamat yang menjanjikan kutipan mata. Saya akan memulihkan diri dan cuba melakukan perlumbaan yang baik untuk saingan di laman  pasukan di Le Mans nanti."

Sementara itu, pengurus pasukan, Herve Poncharal berkata, dia berterima kasih kepada Hafizh atas usaha ditunjukkan meskipun masih kesakitan.

"Jujurnya, saya memberitahu dia pada malam Jumaat lalu, saya tidak fikir dia harus berlumba dan lebih baik memberi tumpuan kepada proses pemulihan dan bersedia untuk pusingan seterusnya di Perancis tetapi dia memberitahu yang dia mahu berlumba dan meneruskan saingan.

"Dia terlepas mata hanya dengan satu posisi di belakang, yang secara tidak langsung menunjukkan semangatnya. Saya mahu berterima kasih kepada dia atas usaha ini.

"Dia berada dalam kesakitan yang teruk tetapi masih mempunyai perlumbaan yang baik, jadi harapan saya, dia tidak berkayuh menuruni bukit lagi dan kembali cergas di Le Mans nanti yang pastinya ramai penyokong hadir memberi sokongan buat Johann dan keseluruhan pasukan Tech3," kata Poncharal.

Selepas empat pusingan perlumbaan, Hafizh kini berada di tangga ke-16 dengan sembilan mata keseluruhan manakala Marquez mengungguli carta kelas perdana dengan 70 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:47 PM