BENZEMA meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AGENSI
BENZEMA meraikan gol bersama rakan sepasukan. FOTO/AGENSI
Reuters

PLZEN, Republik Czech: Real Madrid mengorak langkah besar dalam laluan merebut tempat ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi tadi selepas membenam Viktoria Plzen 5-0 ketika Karim Benzema meledak dua daripada empat gol kelab gergasi Sepanyol itu pada babak pertama.

Bagi aksi sulung jurulatih sementara Santiago Solari dalam Liga Juara-Juara, Real bermula perlahan namun tidak mampu dicabar sebelum rehat dengan penyudah klinikal bertaraf dunia.

Kemenangan itu yang ketiga berturut-turut buat Real dalam semua pertandingan di bawah kendalian jurulatih sementara itu yang menyatakan beliau fokus terhadap perlawanan berikutnya berbanding statusnya di kelab itu.

“Kami hadir pada perlawanan ini fokus sepenuhnya dan ia terbukti,” kata Solari. “Kami mempunyai pemain di sini yang menjaringkan banyak gol dan itulah yang kami lakukan.”

Dengan baki dua perlawanan dalam Kumpulan G, juara bertahan Real di tangga kedua, terikat sembilan mata dengan AS Roma yang menundukkan CSKA Moscow 2-1. CSKA mengumpul empat mata dengan Plzen sekadar satu.

Benzema membuka tirai jaringan pada minit ke-20 apabila dia mengatasi dua pertahanan lawan sebelum merembat di celah kelangkang penjaga gol Plzen, Ales Hruska untuk meraih gol ke-200 buatnya bersama Real.

Casemiro menggandakan kedudukan tiga minit kemudian apabila pemain Brazil itu melonjak tinggi menanduk masuk sepakan sudut.

Benzema yang tidak dikawal meledak gol keduanya pada minit ke-37 menerusi tandukan hasil hantaran Gareth Bale membantu Real mendahului 3-0 sebelum dia mengumpan kepada Bale beberapa minit kemudian yang merembat masuk sepakan voli.

Toni Kroos melengkapkan jaringan pada minit ke-67 apabila dia tenang menyungkit bola melepasi penjaga gol susulan serangan balas pantas membabitkan pemain gantian dari Brazil, Vinicius Junior yang melakukan penampilan sulung pada Liga Juara-Juara.

“Ia malam yang penting buat kami,” kata Casemiro. “Kami menjaringkan lima gol dan keputusan ini memberikan kami keyakinan. Sebelum ini kami mencipta peluang seperti malam ini tapi kami tidak menyudahkannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:53 AM