PENYOKONG Perak berkumpul di Perkarangan Stadium Perak menuntut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan. FOTO/EFFENDY RASHID
PENYOKONG Perak berkumpul di Perkarangan Stadium Perak menuntut Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim meletak jawatan. FOTO/EFFENDY RASHID
Farah Suhaidah Othman

IPOH: Kira-kira 10 kelab penyokong bola sepak The Bos Gaurus (TBG) menyerahkan memorandum bagi mendesak Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meletakkan jawatan sekali gus meminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu campur tangan.

Memorandum itu antara lain mengandungi surat berserta lebih 3,000 tanda tangan penyokong yang mendesak peletakan jawatan Presiden PAFA itu, yang diperoleh secara langsung dan dalam talian menerusi kempen yang diadakan sejak Jumaat lalu.

Wakil kelab penyokong The Yellow Mobs, Mohd Jeffrey Amin Abd Hamid berkata, pihaknya menyerahkan memorandum itu ke pejabat Menteri Besar bagi mendesak Ahmad Faizal campur tangan berhubung perkara itu.

Katanya, pihaknya berharap pemimpin negeri itu memberi keputusan yang kukuh bagi menyelamatkan pembangunan bola sepak negeri.

“Ketetapan kami sama seperti mula-mula kami berkempen iaitu mahu beliau (Hasnul) meletakkan jawatan sebagai Presiden PAFA.

“Sebelum ini, jika berlaku apa-apa masalah, Presiden PAFA atau Timbalan Presiden PAFA akan meletakkan jawatan, tidak perlu sesiapa mendesak.

“Sekarang desak pun tidak mahu letak jawatan, ia bergantung kepada etika kerana beliau sendiri membuat silap sekali gus menimbulkan kemarahan penyokong,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Jeffrey berkata, meskipun memorandum sudah diserahkan ke pejabat Menteri Besar namun petisyen tanda tangan daripada penyokong yang mendesak peletakan jawatan Hasnul akan diteruskan hingga Isnin ini.

Sementara itu, wakil Kelab Penyokong Bolasepak Batu Gajah, Mohd Shirin Adnan berkata, penyokong mencabar sekiranya Hasnul enggan meletakkan jawatan, Presiden PAFA itu perlu memastikan prestasi pasukan terus cemerlang pada musim depan.

“Jika ada sesuatu yang tidak kena (prestasi pasukan), kami akan terus membantah sebab kami mahu TBG terus maju dan senario kecemerlangan pasukan diteruskan kerana kami tak mahu tunggu selepas 18 tahun lagi baru menjulang Piala Malaysia,” katanya.

Sementara itu, tinjauan NSTP mendapati, Presiden PAFA itu secara tiba-tiba dilihat keluar ke perkarangan luar bangunan terbabit sebelum bertemu dengan semua penyokong berkenaan.

Hasnul yang juga Exco kerajaan negeri berkata, penyokong TBG berhak menyuarakan desakan kerana ia terpulang kepada hak masing-masing namun beliau kekal dengan pendirian tidak berundur daripada kepimpinan PAFA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:43 PM