ALEXANDRE LACAZETTE
ALEXANDRE LACAZETTE
Reuters

LONDON: Gol lewat permainan Alexandre Lacazette membantu Arsenal mengikat Liverpool 1-1 serta menghalang pelawat daripada mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan tiga mata.

Selepas babak pertama yang sengit, Liverpool memecah kebuntuan pada minit ke-61 apabila hantaran Sadio Mane sekadar ditampan penjaga gol Arsenal Bernd Leno ke kaki James Milner yang merembat rendah membolosi gawang tuan rumah.

Milner bernasib baik dapat menamatkan permainan selepas kepalanya terhantuk kepala rakan sepasukan Joe Gomez sehingga terpaksa dirawat.

Gunners yang cuba melebarkan deretan tanpa kalah kepada 14 perlawanan dalam semua pertandingan, terus mengasak memburu gol penyamaan dan berhasil menerusi jaringan Lacazette pada minit ke-82.

Penyerang Perancis itu melencong bola mengatasi penjaga gol Brazil Alisson untuk berkongsi satu mata dengan Liverpool yang kini hanya satu mata mengatasi juara bertahan, Manchester City yang akan melayan kunjungan Southampton hari ini.

Arsenal tergelincir ke tangga kelima, di belakang Tottenham yang melonjak ke tangga keempat selepas menang 3-2 di Wolverhampton Wanderers.

Liverpool turut menyaksikan jaringan Mane pada minit ke-20 dibatalkan pengadil kerana ofsaid, walaupun ulang tayang menunjukkan sebaliknya.

“Hanya seorang yang mampu menjawab soalan berkenaan dan dia adalah penjaga garisan. Itulah bola sepak. Jika dia merasakan situasi itu ofsaid maka saya berpendapat dia silap,” kata pengendali Liverpool Juergen Klopp.

"Tetapi ia tidak akan mengubah keadaan dan kami melakukan lebih banyak kesilapan berbanding pengadil. Ia lebih bagus jika gol berkenaan dikira.”  

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 8:48 AM