CALVERT-Lewin melompat tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-82. FOTO Agensi
CALVERT-Lewin melompat tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-82. FOTO Agensi
Agensi

Liverpool: Jaringan ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson pada masa kecederaan dibatalkan akibat ofsaid, manakala Everton pula terpaksa bangkit dua kali selepas ketinggalan bagi membolehkan mereka mengekalkan rekod tanpa kalah pada awal musim Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila saingan Merseyside berakhir dengan keputusan seri 2-2 sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung hari ini di Goodison Park, Liverpool tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila berjaya memperoleh gol pembukaan melalui Sadio Mane pada minit ketiga.

Gerakan berlaku hasil serangan balas pantas sebelum Andy Robertson melakukan hantaran dari dalam petak penalti berjaya menemui Mane yang melakukan rembatan cantik menewaskan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

Dua minit kemudian Everton terselamat daripada dihukum oleh pengadil perlawanan, Paul Tierney walaupun Pickford bertindak merempuh keras Virgil van Dijk sebaliknya melalui Video Bantuan Pengadil (VAR) pertahanan Liverpool itu dipersalahkan kerana berada di kedudukan ofsaid.

Liverpool terpaksa membayar harga yang mahal apabila Van Dijk terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan di atas rempuhan berkenaan dan digantikan dengan Joe Gomez pada minit ke-12.

Ketiadaan Van Dijk membolehkan Everton bermaharajalela terutama ketika pertarungan di udara apabila, Michael Keane berjaya melonjak tinggi untuk menanduk gol penyamaan Everton pada minit ke-19 hasil sepakan sudut James Rodriguez.

Anak buah Jurgen Klopp hampir menambah gol kedua pada minit ke-24 namun sepakan percuma, Trent Alexander-Arnold berjaya diselamatkan Pickford.

Sebaik aksi separuh masa kedua bersambung kedua-dua pasukan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan namun percubaan melalui rembatan separuh voli ketua pasukan The Reds, Jordan Henderson melewati palang pada minit ke-49 dan dua minit kemudian, hantaran rendah Lucas Digne, gagal disempurnakan Dominic Calvert-Lewin.

Selepas dua percubaan Everton melalui Richarlison (m-59) dan Rodriguez (m-65) menemui palang serta diselamatkan penjaga gol Adrian, Liverpool sebaliknya memperoleh gol kedua hasil jaringan ke-100 Mohamed Salah pada minit ke-72 berpunca daripada hantaran lintang Henderson tapi gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh Yerri Mina.

Bagaimanapun, 10 minit kemudian Everton kembali menyamakan kedudukan apabila Calvert-Lewin melompat tinggi untuk menanduk masuk hantaran lintang Digne dan ia adalah kali kelima berturut-turut penyerang yang baru dipanggil menyertai skuad Englan itu meledak jaringan di EPL musim ini.

Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Richarlison dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran pada minit ke-88.

Pada masa kecederaan Liverpool memperoleh jaringan melalui rembatan Henderson namun ia dibatalkan selepas Tierney merujuk kepada VAR yang menyataka gol itu tidak dikira akibat Mane berada di kedudukan ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2020 @ 9:48 PM