ROELANT OLTMANS
ROELANT OLTMANS
Jugjet Singh


KUALA LUMPUR: Skuad hoki negara akan bertemu Pakistan sekali lagi pada separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia di Muscat, Oman esok.

Meskipun tewas 0-1 kepada lawan sama pada aksi terakhir malam tadi, skuad negara masih layak beraksi pada separuh akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga.

Ia satu-satunya kekalahan dialami Malaysia pada kejohanan itu setakat ini selepas cemerlang menewaskan Jepun 3-0, diikuti mengalahkan Oman 3-1 dan kemudian menundukkan Korea Selatan 4-2 sebelum seri tanpa jaringan dengan India.

India unggul di tangga teratas dengan rekod tanpa kalah dan bertemu Jepun pada satu lagi aksi separuh akhir.

“Dalam sukan anda tidak boleh memenangi perlawanan tanpa menjaringkan gol.

“Kami gagal melakukannya dalam dua perlawanan terakhir. Pertama ketika seri dengan India dan kali ini kami gagal memanfaatkan peluang.

“Saya percaya kami akan mempamer aksi berbeza pada separuh akhir bertemu Pakistan dan saya percaya pemain akan menjaringkan gol pada perlawanan itu nanti.

“Apabila anda beraksi di separuh akhir, anda pastinya mahu mempamerkan aksi lebih baik. Anda tidak boleh memberi fokus kepada keputusan perlawanan itu tapi merancang dengan rapi apa yang perlu dilakukan,” kata ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans.

Pengurus Pakistan, Hasan Sardar berkata: “Amat penting buat pemain saya meraih kemenangan bertemu lawan yang akan kami temui sekali lagi di separuh akhir.”

Muhammad Irfan muncul wira Pakistan apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-54.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 1:13 PM