PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp. FOTO Reuters
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp. FOTO Reuters
Reuters

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp meminta penyokong di Anfield untuk mencipta kelainan dalam pertembungan Liga Juara-Juara di laman sendiri berdepan Red Star Belgrade awal pagi Khamis ini.

Liverpool menang saingan pembukaan Kumpulan C, 3-2 di laman sendiri berdepan Paris St-Germain namun tewas di tempat lawan kepada Napoli dalam perlawanan terakhir saingan kelab elit Eropah itu.

Kelab dari Merseyside itu kini berkedudukan kedua kumpulan dengan tiga mata bersama PSG dan satu mata di belakang Napoli dengan hanya dua pasukan teratas mara ke saingan kalah mati.

Pada sidang akhbar hari ini, Klopp berkata suasana di Anfield – tempat penyokong skuad Kop terkenal dengan menyokong hebat pasukan mereka – boleh menjadi senjata rahsia Liverpool.

“Kami perlu bersedia untuk betul-betul bertarung,” katanya kepada wartawan. “Kami perlu bersedia di segenap pelusuk padang dengan apa yang kita ada dan kami perlukan sokongan penonton.

“Kami pelajari tahun lalu bahawa suasana boleh memberikan kelainan dan kami perlu pastikan ia sekali lagi. Ia memang kumpulan yang sukar untuk semua pasukan dan kami perlu pastikan kami membuat langkah seterusnya bagi berdepan pasukan yang kuat.”

Red Star kini berkedudukan terbawah tetapi seri dengan Napoli 0-0 pada saingan pembukaan mereka. 

Liverpool berdepan juara Piala Eropah 1991 dua kali itu dalam tempoh dua minggu untuk mencari kemenangan berdepan pencabarnya itu.

Walaupun Liverpool dilabel pilihan dalam perlawanan itu, Klopp tidak menjangkakan ia adalah tugasan mudah berdepan kelab yang pertama kali mara ke peringkat kumpulan sejak bergelar juara 26 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:49 AM