KEADAAN asrama SSNWP - SMK Seri Titiwangsa yang usang dengan keadaan tingkap menggunakan papan lapis. FOTO E-mel
KEADAAN asrama SSNWP - SMK Seri Titiwangsa yang usang dengan keadaan tingkap menggunakan papan lapis. FOTO E-mel
Firdaus HashimZulfaizan Mansor dan Naqib Nor Said dan Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Ketika hala tuju dan masa depan pelajar sekolah sukan masih hangat diperkatakan, timbul pula masalah lain apabila sekolah sukan negeri (SSN) yang dianggap memiliki kemudahan lengkap, hanya sekadar indah khabar daripada rupa.

Situasi menyedihkan itu dialami pelajar SSN Wilayah Persekutuan (SSNWP), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Titiwangsa.

Ketika ramai pihak luar beranggapan mereka memiliki keistimewaan dengan ‘layanan’ dan kemudahan lengkap, pelajar SSNWP yang terdiri daripada atlet bola baling, bola jaring, bola sepak, hoki, olahraga, sepak takraw, taekwondo, tinju dan silat boleh dianggap bernasib malang.

Ketika SSN lain mempunyai stadium mini, dewan latihan dan bas masing-masing, malangnya SSNWP yang berpangkalan di ibu negara tidak memilikinya sekali gus dianggap ‘tak macam sekolah sukan’ dan seperti ‘anak tiri’.

TINJAUAN padang di SSNWP yang teruk dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain. FOTO Syarafiq Abd Samad
TINJAUAN padang di SSNWP yang teruk dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain. FOTO Syarafiq Abd Samad

Malah, ibu bapa mendakwa kemudahan yang disediakan di sekolah harian lebih baik berbanding SSNWP dengan mereka mendakwa terpaksa mengambil cuti dan berkorban dengan menghantar anak masing-masing menjalani latihan di Stadium Mini Seri Permaisuri yang terletak kira-kira 15 kilometer.

Tidak cukup dengan itu, mereka mendakwa anak masing-masing terpaksa menumpang menginap di bangunan lama Unit Sukan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dengan kemudahan seperti katil dan locker yang usang selain tingkap diperbuat daripada papan lapis selain sistem longkang yang tidak sempurna.

Hakikat itu diakui Timbalan Presiden Kelab Titians Titan (TTC) yang dianggotai ibu bapa pelajar hoki SMK Seri Titiwangsa, Mohd Faizal Daud.

Malah, beliau menegaskan masalah itu sepatutnya tidak berlaku kerana sekolah berkenaan adalah sekolah sukan negeri yang sepatutnya memiliki kemudahan lengkap dan peruntukan cukup bagi pembangunan atlet akar umbi.

“Tidak dinafikan kemudahan di sekolah ini sememangnya daif kerana bukan setakat terpaksa menumpang asrama tapi sekolah ini satu-satunya sekolah sukan yang tidak mempunyai bas untuk aktiviti mereka.

“Sepanjang tiga tahun anak saya mewakili SMK Seri Titiwangsa dalam sukan hoki, dia tidak pernah menerima walau sehelai jersi sedangkan mewakili dan membawa nama sekolah serta Wilayah Persekutuan.

“Lebih menyedihkan, perkakasan hoki, pengangkutan dan duit makan semuanya terpaksa disediakan ibu bapa.

“Malah, ibu bapa juga terpaksa mengambil inisiatif sendiri dalam menyediakan apa yang sepatutnya disediakan pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah atas dasar tanggungjawab demi untuk melihat kemajuan anak masing-masing dalam sukan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 10:00 AM