EDMUND (kiri) dan Monfils bersama trofi masing-masing selepas tamat final Terbuka Eropah, awal pagi tadi. FOTO AFP
EDMUND (kiri) dan Monfils bersama trofi masing-masing selepas tamat final Terbuka Eropah, awal pagi tadi. FOTO AFP
AFP

ANTWERP, Belgium: Pemain nombor satu Britain, Kyle Edmund mempamerkan kebangkitan sebelum menewaskan Gael Monfils pada set akhir tie-break sekali gus menjulang trofi pertama Jelajah ATP di Terbuka Eropah, awal pagi tadi.

Kemenangan 3-6, 7-6 (7/2), 7-6 (7/4) menamatkan kemarau kejuaraannya musim ini dengan pemain berusia 23 tahun itu menyalakan harapan untuk layak ke ATP World Tour Finals di London bulan depan.

Edmund muncul pemain lelaki Britain pertama selain Andy Murray yang menjuarai acara perseorangan selepas Greg Rusedski mencipta kejayaan di Newport pada Julai 2005.

"Jelas saya sangat gembira. Saya bekerja keras jadi sudah pasti ia sangat emosi,” kata pemain nombor 15 dunia itu.

"Anda akan selalu ingat perlawanan ini. Gael memaksa saya bermandi peluh, itu sudah pasti jadi ‘credit’ untuk dia. Saya sangat gembira,” katanya yang juga pilihan utama kejohanan.

Ia adalah final Jelajah kedua selepas tewas straight-set kepada Pablo Andujar di Maghribi pada April lalu. Sebelum itu, Edmund mara ke separuh akhir Terbuka Australia pada awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 7:57 AM