KAPTEN Barcelona, Lionel Messi patah lengan kanan ketika aksi menentang Sevilla. FOTO Reuters
KAPTEN Barcelona, Lionel Messi patah lengan kanan ketika aksi menentang Sevilla. FOTO Reuters
AFP

BARCELONA: Kapten Barcelona, Lionel Messi bakal terlepas aksi selama tiga minggu, selepas patah lengan kanan ketika membantu kelab itu mencatat kemenangan 4-2 ke atas Sevilla, pagi tadi.

Susulan daripada kecederaan itu, Messi tidak akan diturunkan untuk perlawanan ‘Clasico’ menentang seteru utama, Real Madrid pada 28 Oktober ini.

Ousmane Dembele menggantikan Messi pada minit ke-25, selepas pemain Argentina itu diperiksa oleh doktor kelab di tepi padang ekoran pertembungan dengan pemain Sevilla, Franco Vazquez.

Messi yang membantu gol pembukaan dijaringkan Philippe Coutinho pada minit kedua dan meledak gol kedua pasukan, dilihat mengalami menderita kesakitan, meninggalkan padang dengan lengan kanannya berbalut.

“Apa yang jelas, ia boleh dikatakan satu kehilangan,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Kami tahu apa yang diberikannya kepada kami dan apa yang kami terlepas apabila dia tidak ada bersama kami. Kami perlu mengharunginya dan kami akan bersedia.

“Adalah jelas yang kami perlu akur dengan ketiadaannya, tetapi kami akan cuba membiasakan diri. Kami mempunyai sumber, biarpun kami akan berdepan beberapa pasukan yang sangat sukar.”

Selain aksi ‘Clasico’, penjaring sepanjang zaman Barca itu juga tidak boleh diturunkan untuk perlawanan Liga Juara-Juara, Rabu ini menentang Inter Milan di laman sendiri dan aksi timbal balik di Milan, 6 November depan.

Pertahanan Barca, Gerard Pique mengakui ketiadaan Messi akan membawa impak kepada pasukan tetapi percaya pasukan dapat mengharungi beberapa perlawanan selepas ini tanpa terlepas banyak mata.

“Dia memberi kami ketenangan apabila dia berada bersama pasukan tetapi kami tidak begitu menderita tanpanya,” katanya.

“Terdapat perbezaan besar antara mempunyainya di padang ataupun tidak tetapi kami mempunyai sebuah pasukan yang cukup kuat untuk memenangi perlawanan sama ada dia bermain ataupun tidak.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 7:46 AM