TUN Mahathir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2018 di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil. FOTO/BERNAMA
TUN Mahathir bersama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2018 di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil. FOTO/BERNAMA
Rohaniza IdrisJumiati Rosly dan dan Esther Landau

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara ke Sukan Para Asia di Jakarta apabila berjaya mencapai sasaran 15 pingat emas pada temasya itu yang bakal melabuhkan tirainya hari ini. 

"Mereka betul-betul bersemangat. Walaupun guna kerusi roda pun mereka cekap. 

"Tahniah kepada mereka," katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan di Bandar Sukan Kuala Lumpur di sini, hari ini. 

Semalam, atlet olahraga Eddy Bernard mengungguli acara lompat jauh lelaki T44, T62/64 (cacat anggota kaki) bagi membantu Malaysia mencapai sasaran meraih 15 pingat emas.

Sehingga semalam, Malaysia mengumpul 15 pingat emas, 24 perak dan 21 gangsa. Jumlah 15 emas itu menyamai pencapaian kontinjen negara pada Sukan Para Asia Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merakamkan ucapan terima kasih di atas kejayaan kontinjen para negara yang mencapai sasaran yang ditetapkan sekali gus mencipta dua rekod dunia yang baharu.

Dua atlet para negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Abdul Latif Romly mempamerkan aksi cemerlang memencah rekod dunia.

Mohamad Ridzuan yang bertanding dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy) memadam rekod lama atlet Rusia, Evgenii Shvetcov pada Kejohanan Paralimpik Dunia IPC 2013 di Lyon, Perancis.

Sementara Abdul Latif memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara lompat jauh T20 lelaki (masalah pembelajaran). Rekod dunia sebelum ini dilakukan Abdul Latif ketika Sukan Paralimpik Rio 2016 di Brazil.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 12:49 PM