MAHREZ (kanan) gagal sempurnakan sepakan penalti ketika aksi menentang Liverpool. -Foto AFP
MAHREZ (kanan) gagal sempurnakan sepakan penalti ketika aksi menentang Liverpool. -Foto AFP
AFP

LIVERPOOL: Pep Guardiola mengambil tanggungjawab penuh kerana memberi kepercayaan kepada Riyad Mahrez, ketika dia gagal menyempurnakan penalti, lima minit sebelum tamat aksi yang menyebabkan Manchester City sekadar seri 0-0 di Liverpool, semalam.

Keputusan seri itu mengekalkan rekod tanpa kalah kedua-dua pasukan itu dalam Liga Perdana, tetapi mereka gagal mengekalkan rentak awal untuk pemburuan gelaran ketika Chelsea juga terikat di kedudukan teratas dengan 20 mata selepas lapan perlawanan.

“Saya melihatnya setiap hari dalam sesi latihan, saya melihatnya berlatih penalti setiap hari dan ia memberikan saya lebih keyakinan,” kata Guardiola.

Ketika dihadiahkan sepakan penalti, Guardiola mengarahkan Gabriel Jesus yang sebelum itu menggantikan tugas Sergio Aguero, untuk memberikan bola kepada Mahrez.

Bagaimanapun, rekod buruk bintang Algeria itu untuk sepakan penalti berterusan ketika pemain dengan rekod termahal dibeli City berkenaan gagal melakukannya untuk kali keempat dalam enam kali apabila menyepak melepasi palang.

Tidak seperti empat pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam dua musim lalu apabila Liverpool menewaskan juara England itu tiga kali, pertembungan paling dinantikan itu hambar, apabila kedua-duanya gagal menemui sasaran sehingga selepas sejam.

Guardiola bagaimanapun mengakui perancangannya untuk menerap rentak permainan lebih perlahan bagi menyekat Liverpool dan bergantung kepada serangan balas pantas tampak berhasil.

“Jika ia perlawanan terbuka di Anfield, anda tidak akan mendapat satu peratus pun peluang,” kata Guardiola.

“Di atas dan bawah mereka adalah pasukan terbaik dunia. Bermain dalam keadaan itu tiada siapa yang lebih bagus. Mereka dibina untuk itu, Jurgen (Klopp) membinanya untuk itu. Dalam situasi itu mereka jauh lebih baik berbanding kami.”

Selepas tewas dalam tiga kunjungan sebelum ini ke Anfield selaku bos City, Guardiola mengambil perkara positif apabila mencuri satu mata dari gelanggang yang sama juara itu tewas musim lalu.

“Kami semakin hampir untuk menang di sini. (Seri) lebih baik berbanding musim lalu apabila kami juga tewas,” kata Guardiola ketika City masih menanti kemenangan pertama di Anfield sejak 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:15 AM