BIBI RAMJANI IIIAS KHAN
BIBI RAMJANI IIIAS KHAN
Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Barisan pemain Kelantan tidak seharusnya dibuai mimpi indah selepas melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, tapi harus bekerja keras bagi menghadapi Sabah di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, walaupun usaha keras pemain berhasil apabila Kelantan melangkah ke peringkat seterusnya saingan itu tapi ia bukan dianggap penamat.

“Pertama sekali syukur dan sekalung terima kasih serta pujian kepada semua pemain, jurulatih serta pengurusan pasukan yang berjaya membawa skuad Kelantan ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2018.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan usaha kerja keras secara berpasukan dan bertawakal dapat menghadirkan sesuatu positif kerana bola sepak perlu dilakukan secara kerjasama bukannya individu.

“Ketika kita masih bermimpi indah dengan kejayaan ini perlu diingat supaya tidak leka kerana bola sepak adalah kerja berterusan dan ia bermakna pasukan perlu tetap berusaha keras berlatih untuk bertemu Sabah selepas ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, skuad Kijang Merah itu menempah tiket ke suku akhir apabila menewaskan Kedah 2-0 pada aksi terakhir kumpulan, Ahad lalu.

Bagi aksi seterusnya juara Piala Malaysia 2012 bakal bertemu Sabah, Sabtu ini bagi pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 6:40 PM