LOPETEGUI (kiri) memasukkan Vazquez menggantikan Bale. FOTO/REUTERS
LOPETEGUI (kiri) memasukkan Vazquez menggantikan Bale. FOTO/REUTERS
Agensi

BILBAO, Sepanyol: Pengendali Real Madrid, Julen Lopetegui menjelaskan keputusannya tidak membawa masuk penyerang Mariano Diaz ketika seri 1-1 dengan Athletic Bilbao kerana beliau perlu mengeluarkan Gareth Bale yang beraksi di posisi sayap.

Mariano berada dalam senarai pemain simpanan di San Mames, awal pagi tadi tetapi khidmatnya tidak digunakan ketika Los Blancos ketandusan jaringan untuk bangkit pada babak kedua.

Isco tampil dari bangku simpanan untuk menanduk masuk jaringan penyamaan buat pelawat meskipun Lopetegui memilih untuk tidak menggunakan Mariano yang kembali ke Real bulan lalu selepas semusim di Ligue 1 bersama Lyon.

Sebaliknya, Lucas Vazquez dan Casemiro menjadi pilihan Lopetegui untuk dibawa masuk, yang kemudiannya menjelaskan sebab percaturan selepas Real kehilangan mata kali pertama di bawah kendaliannya.

“Mariano antara satu pilihan untuk pertukaran,” jelas Lopetegui selepas perlawanan. “Tapi kami fikir Bale di posisi sayap perlu digantikan dengan Lucas menjadi pilihan kerana dia beraksi baik sebelum ini.

“Apabila ada tempoh rehat antarabangsa anda perlu menganalisis setiap pemain dalam pasukan anda.”

Dengan penjualan Cristiano Ronaldo kepada Juventus pada musim panas lalu, Mariano yang dulunya produk Castilla disambar semula Real sebagai satu-satunya pembelian di bahagian serangan sebagai sokongan kepada Karim Benzema.

Iker Muniain terlebih dulu meletakkan Bilbao di depan pada minit ke-32 selepas penjaga gol Real, Thibaut Courtois gagal menghalang hantaran leret Oscar de Marcos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 11:44 AM