PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Asyraf Hamzah
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Asyraf Hamzah
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan terburu-buru dengan perancangan untuk melantik  pengarah kejurulatihan seperti diumumkan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) badan induk itu, semalam.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata keputusan yang dibuat adalah bagi melengkapkan struktur kejurulatihan sedia ada selain memantau keseluruhan program bagi menghadapi Olimpik Tokyo 2020.

"Ketika ini kami memiliki ketua jurulatih dalam setiap acara dan sistem itu berjalan dengan baik berdasarkan peningkatan dan keputusan yang dihasilkan khususnya dalam acara beregu campuran, beregu lelaki dan perseorangan wanita.

"Jadi, untuk memantapkan lagi struktur sedia ada, kami akan mengambil pengarah kejurulatihan. Namun, pengarah kejurulatihan ini mestilah seseorang yang tahu dengan keadaan yang kami hadapi hari ini.

"Kalau tengok sejarah, kami pernah ada Park Joo Bong, Morten Frost Hansen, Rexy Mainaky dan beberapa orang lagi... mereka datang dan pergi. Namun, kami masih gagal mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kelemahan tertentu terutamanya kekuatan mental pemain yang dianggap masalah paling utama.

"Jadi, kami kena perlu cari individu yang mampu untuk mengatasi kelemahan itu," kata Norza ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Remaja Astro 2018 dan Majlis Menandatangani Perjanjian Strategik antara Persatuan Badminton Malaysia dengan Kumpulan Astro.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.

Ditanya sama ada calon tempatan atau luar negara yang menjadi pilihan BAM, Norza berkata: "Apa yang penting adalah dia tahu tanggungjawab kerja dia. Sebab itu, saya meminta Datuk Ng Chin Chai (Pengerusi C&T) untuk membuat analisis mengenai perkara ini.

"Beberapa lagi faktor juga akan diambil kira termasuk kekangan kewangan. Kalau kami mahu individu yang sudah ada nama, sudah pasti ia memerlukan kos yang tinggi dan mungkin perlu tebus kontrak dia atau sebagainya.

"Pada saya, lebih baik duit itu disalurkan untuk program pemain dan menghantar mereka menyertai kejohanan, apatah lagi kelayakan ke Olimpik akan bermula tahun depan (April). Apapun, kami akan berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan Institut Sukan Negara (ISN) mengenai perkara ini," kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 3:53 PM