BRYSON DECHAMBEAU
BRYSON DECHAMBEAU
AFP

PHILADELPHIA: Pemain pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat (AS), Bryson DeChambeau berpeluang mencatat hatrik gelaran Piala FedEx di Kejuaraan BMW yang bermula hari ini.

Pemilihan DeChambeau pada Selasa lalu menerusi pilihan kapten Jim Furyk tidak mengejutkan, selepas pemain berpangkalan di Florida itu menjuara dua kejohanan pertama dalam siri Piala FedEx.

DeChambeau, 24, yang menang di Northern Trust dan Dell Tecnologies, mampu mencatat rekod sebagai pemain pertama dalam sejarah memenangi tiga acara Piala FedEx secara berturut-turut hujung minggu ini.

Lima lagi pemain – Tiger Woods (tahun 2007), Vijay Singh (2008), Camilo Villegas (2008), Rory McIlroy (2012) dan Billy Horschel (2014) – sekadar memenangi dua kejohanan berturut-turut.

Walaupun mengakui sedikit penat, DeChambeau bersemangat untuk menguasai lapangan Kelab Golf Aronimink yang menjadi medan kepada Kejuaraan PGA 1962 dan terbaru Jelajah PGA 2010 serta AT&T National 2011.

“Perkara pertama ialah saya sedikit penat,” kata DeChambeau. "Menang dua berturut-turut memerlukan kekuatan mental dan fizikal di luar jangkaan saya.

“Masih banyak tugas yang perlu dilunaskan dengan kemenangan itu tetapi ia satu penghargaan dan saya akan terus melakukannya.

“Sekali lagi, ini adalah wilayah baharu buat saya dan saya sedang belajar bagaimana untuk menanganinya. Tetapi ia sesuatu yang saya mahu terus lakukan.” 

 

Tanpa mengira apa pencapaiannya minggu ini, DeChambeau akan tampil di kejohanan penutup musim Jelajah PGA – Kejuaraan Jelajah – hujung bulan ini sebagai pendahulu Piala FedEx.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 September 2018 @ 8:16 AM