PEMAIN Selangor Sarkunan Krishnansamy (tengah) diraikan selepas menjaringkan gol ketika menentang Pahang dalam saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Makmur. FOTO/ZULKEPLI OSMAN
PEMAIN Selangor Sarkunan Krishnansamy (tengah) diraikan selepas menjaringkan gol ketika menentang Pahang dalam saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Darul Makmur. FOTO/ZULKEPLI OSMAN
Asrol Awang


PENGENDALI Selangor, Muhammad Nazliazmi Nasir berbangga dengan kejayaan skuadnya menewaskan Pahang 3-1 malam tadi, sekali gus menamatkan empat kekalahan berturut-turut dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia musim ini.

Biarpun Red Giants sudah tersingkir bagi perebutan slot suku akhir Piala Malaysia, beliau berterima kasih kepada anak buahnya yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk menafikan kemenangan skuad Tok Gajah.

"Kemenangan ini lebih kepada maruah pasukan Selangor kerana pada perlawanan kelima, inilah corak permainan sebenar yang ditampilkan pemain untuk kembali mencatat kemenangan.

"Sebelum datang ke Kuantan, sepanjang tempoh seminggu menjalani latihan, saya katakan kepada pemain bahawa perlawanan ini adalah untuk diri, masa depan dan maruah pasukan.

"Mereka membuktikannya dengan menewaskan Pahang yang diakui memiliki barisan pemain berpengalaman tetapi tetap berjaya meraih tiga mata di tempat lawan," katanya.

Bagi menamatkan perlawanan terakhir bertemu PKNP 16 September ini, Muhammad Nazliazmi menuntut aksi sama dipersembahkan skuad kendalinnya itu.

"Tiada yang lebih bermakna untuk mengakhiri perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Batu Kawan dengan meraikan kemenangan sekali gus menebus kekalahan 0-3 kepada lawan sama," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, tiga gol Red Giants, masing-masing satu dijaringkan oleh Rufino Segovia seawal minit ketujuh, diikuti Willian Pacheco (m-47) dan K Sarkunan (m-90) manakala gol tunggal tuan rumah dijaringkan Safuwan Baharudin (m-30).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 1:03 PM