DEMBELE ledak gol pada minit ke-78 dengan rembatan sejauh 25 ela, menerusi hantaran Messi. FOTO/AFP
DEMBELE ledak gol pada minit ke-78 dengan rembatan sejauh 25 ela, menerusi hantaran Messi. FOTO/AFP
AFP

TANGIERS, Maghribi: Barcelona bangkit sebelum membenam Sevilla 2-1 untuk menjuarai Piala Super Sepanyol awal pagi tadi dengan juara Piala Dunia dari Perancis Ousmane Dembele  meledak gol kemenangan untuk memberikan permulaan sempurna buat Lionel Messi sebagai kapten.

Ia adalah trofi Piala Super ke-13 buat Bercelona dan keenam dalam tempoh sembilan musim.

Bagaimanapun Sevilla mensia-siakan peluang keemasan untuk membawa perlawanan ke masa tambahan apabila Wissam Ben Yedder gagal memanfaatkan penalti pada minit terakhir.

Pablo Sarabia memberikan Sevilla gol pendahuluan seawal minit kesembilan menerusi serangan balas.

Gerard Pique yang mengumumkan persaraannya daripada skuad Sepanyol semalam, menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama buat Barcelona apablla bingkas menyambut bola susulan sepakan percuma Messi.

Ia memberi ruang buat bintang Perancis Dembele untuk mencuri tumpuan pada minit ke-78 menerusi rembatan sejauh 25 ela, juga menerusi hantaran Messi.

Ternyata masih ada ruang untuk drama babak akhir perlawanan apabila penjaga gol Barca Marc-Andre Ter Stegen mengasari Aleix Vidal ketika pemain muda Sevilla itu hampir meledak gol penyamaan.

Namun sepakan penalti yang lemah daripada Ben Yedder mudah diselamatkan Ter Stegen.

Perlawanan itu bermula dengan penuh kontroversi apabila Sevilla mengancam untuk membuat aduan ke atas Barcelona sekiranya juara La Liga itu menurunkan lebih daripada tiga pemain bukan dari Kesatuan Eropah (EU).

Persekutan Bolasepak Sepanyol (RFEF) berkata semalam bahawa tiada  halangan daripada pemain daripada luar EU untuk menyertai Piala Super, biarpun hanya tiga yang dibenarkan untuk perlawanan liga. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 8:17 AM