AYOZE Perez (tengah) jaring gol sendiri sekali gus berikan kemenangan kepada Leicester. -Reuters
AYOZE Perez (tengah) jaring gol sendiri sekali gus berikan kemenangan kepada Leicester. -Reuters
Reuters

NEWCASTLE: Leicester City mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris kepada enam perlawanan selepas jaringan sendiri Ayoze Perez memberikan mereka kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United, awal pagi tadi.

Keputusan itu menyaksikan Leicester kekal di tangga kelapan dengan 23 mata selepas mengharungi 16 perlawanan.

Newcastle pula menghuni tangga ke-16 dengan 15 mata, hanya dua mata dipisahkan dengan kedudukan tiga tangga terbawah liga.

Ia juga memberikan tekanan kepada pengurus, Rafa Benitez yang menyifatkan kesilapan benteng pertahanan dan kurang keyakinan menjadi punca kekalahan itu yang menyaksikan The Foxes memusnahkan sambutan ulangtahun ke-125 Newcastle di St James Park.

“Kamu tidak sepatutnya melakukan kesilapan seperti ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kami melakukannya setiap minggu.

“Kami sudah melihat dua atau tiga situasi dengan gol yang sama. Ia juga berpunca daripada kekurangan pengalaman.

“Cara kami dibolosi memang tidak membantu untuk keyakinan kami. Kami perlu perbaiki perkara yang kami tidak lakukan dengan baik ketika ini,” kata Benitez.

Sementara itu, rakan sejawatnya di Leicester memuji barisan pemain kelab itu dan berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan mereka.

“Ia perlawanan yang sukar dan bukanlah aksi terbaik kami kerana ada naik dan turun. Babak pertama pemain bermain dengan baik tetapi permulaan babak kedua adalah sukar.

“Kami menjaringkan gol kedua yang hebat dan kami bangkit selepas ketinggalan dengan semangat yang menakjubkan,” katanya.

Newcastle yang hanya mengutip satu mata daripada tujuh perlawanan terakhir membuka tirai jaringan menerusi penyerang Sepanyol, Joselu seawal minit keempat sebelum Riyad Mahrez dan Demarai Gray meletakkan Leicester mendahului 2-1 menerusi gol mereka minit ke-20 dan 60.

Dwight Gayle berjaya menyamakan kedudukan buat Newcastle pada minit ke-73 tetapi rakan sepasukannya Perez menjadi duri dalam daging apabila tertampan bola masuk ke gawang sendiri sekali gus memberi kemenangan kepada Leicester.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 12:35 PM