Jimmy Vicaut. FOTO Agensi
Jimmy Vicaut. FOTO Agensi
AFP

Paris: Bekas pemegang rekod 100 meter (m) Eropah, Jimmy Vicaut berkata dia meninggalkan pasukan latihan yang dipimpin jurulatih kontroversi, Rana Reider di Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai Marco Airale dekat Itali.

Reider kini berdepan siasatan oleh jabatan bagi keselamatan sukan AS mengenai pelbagai aduan salah laku seksual.

"Selepas musim yang sukar dan mengecewakan, beberapa minggu lalu, saya mengambil keputusan untuk kembali ke Eropah," kata Vicaut di media sosialnya.

Dia akan menyertai Padua pelari gantian yang dibimbing Airale, 31, bekas pembantu Reider.

"Selain prestasi saya, keputusan saya didorong oleh faktor keluarga yang sangat membimbangkan saya setiap hari.

"Tiga tahun sebelum Sukan Olimpik Paris, ini adalah masa buat saya menilai kembali kerja dan peluang pasukan saya."

Atlet pecut berusia 29 tahun dari Perancis itu yang berdepan isu kecederaan, tersingkir pada saingan separuh akhir 100m pada Sukan Olimpik Tokyo tahun ini.

Dia gagal memperbaiki rekod peribadinya sejak 2018 dan catatan terbaik Eropah 9.86 saat (s) dilakukan pada 2015 dipecahkan pemenang pingat emas 100m di Olimpik Tokyo, Lamont Marcell Jacobs dari Itali yang melakukan 9.84s diikuti 9.80s pada final.

Vicaut menjalani latihan sejak dua tahun lalu di Florida bersama Reider, yang turut membimbing beberapa kumpulan atlet lain termasuk juara 200m Olimpik dari Kanada, Andre De Grasse dan atlet Britain, Adam Gemili juga bekas juara 200m Eropah dan pemenang pingat acara lari berganti-ganti campuran.

Atlet ketiga dari Britain, Daryll Neita, yang memenangi pingat ganga dalam acara 4x100m wanita di Tokyo turut mengambil keputusan untuk berpisah dengan jurulatih AS itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 11:41 AM