MARCO REUS
MARCO REUS

VATUTINKI: Marco Reus percaya Jerman perlu mengetepikan tekanan dan mempamerkan gaya permainan bola sepak mereka sendiri bagi misi hidup atau mati dalam kempen Piala Dunia menentang Korea Selatan Rabu ini andai mahu melangkah ke pusingan kedua.

Skuad kendalian Joachim Loew perlu merekodkan kemenangan dengan kelebihan dua gol di Kazan bagi menjamin tempat ke pusingan kalah mati selepas berjaya bangkit daripada kekalahan kepada Mexico menerusi kemenangan 2-1 ke atas Sweden.

Korea Selatan kini menduduki tangga tercorot Kumpulan F selepas tewas dalam dua perlawanan awal. "Korea Selatan memiliki kepantasan dan pemain serba boleh yang mampu memberikan masalah kepada mana-mana pasukan," kata Reus yang menjangkakan wakil Asia itu akan menggunakan taktik serangan balas pantas di bahagian tengah seperti Mexico.

"Kami menjangkakan mereka akan menerapkan corak serangan balas dan mahu bermain lebih bertahan. 

"Bagaimanapun, saya yakin bahawa jika kami mempamerkan gaya permainan kami yang tersusun, kualiti dan semangat seperti ketika menentang Sweden, pasti Korea Selatan sukar menewaskan kami.

"Selepas Sweden mendahului pertembungan di Sochi pada Sabtu lalu, Reus mencetuskan kebangkitan Jerman menerusi jaringan penyamaan sebelum Toni Kroos meledak gol kemenangan.

Reus, pemain sayap Borussia Dortmund berusia 29 tahun dan penyerang RB Leipzig, Timo Werner antara beberapa pemain yang agak menyerlah dalam skuad Jerman yang beraksi di bawah kemampuan sebenar di Russia.

Werner, 22, mengakui di atas kertas Korea Selatan pasukan yang boleh ditewaskan selepas kecundang kepada Mexico dan Sweden namun mereka tidak akan mengambil mudah.

Bintang Jerman itu jelas berwaspada dengan mengenai kemampuan penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-min, yang pernah beraksi untuk kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen.

"Mereka sangat pantas dan penyerang yang bagus, mereka mungkin berbeza dengan Sweden yang memiliki kekuatan fizikal. Korea Selatan memiliki pemain yang bertubuh kecil dan pantas. Mengenai Son Heung-min pula, dia pemain yang dikenali di pentas antarabangsa. Dia sudah membuktikan kemampuannya jadi saya fikir kami perlu mengawasinya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 3:18 AM