HEUNG Min anggap kemenangan Korea Selatan ke atas Jerman umpama mimpi. FOTO/AFP
HEUNG Min anggap kemenangan Korea Selatan ke atas Jerman umpama mimpi. FOTO/AFP
Reuters

KAZAN: Pemain sayap, Son Heung Min menyifatkan kemenangan 2-0 Korea Selatan ke atas Jerman awal pagi tadi umpama ‘mimpi’ kerana ia menyebabkan juara bertahan di bawah bimbingan Joachim Loew tersingkir seawal pusingan pertama.

Kejayaan itu cukup bermakna untuk Korea Selatan yang sudah pun tersingkir pada saingan kali ini walaupun mencatat kemenangan pertama ke atas Jerman di Piala Dunia dengan Sweden dan Mexico masing-masing layak ke pusingan kedua.

“Kami menewaskan juara dunia dan kebiasaannya ia umpama mimpi. Kami layak untuk berasa bangga,” kata penyerang berusia 25 tahun itu.

“Sudah tentu kami berasa kecewa kerana gagal ke pusingan kedua, tetapi saya rasa kami berhak untuk berasa bangga selepas kemenangan ini.

“Kami menewaskan juara dunia yang lalu dan sekarang saya bersedia untuk Piala Dunia seterusnya,” katanya.

Korea Selatan memerlukan kemenangan ke atas Jerman sambil mengharapkan Mexico menewaskan Sweden untuk melangkah ke pusingan kedua.

Kim Young Gwon meletakkan Korea di depan pada masa kecederaan menerusi rembatan jarak dekat yang kemudiannya dirujuk menerusi video bantuan pengadil (VAR) sebelum gol itu disahkan.

Heung Min menambah gol kedua beberapa minit kemudian selepas Ju Se Jong merampas bola daripada penjaga gol Jerman, Manuel Neuer di tengah padang sebelum merembat dari jarak jauh kepada Heung Min yang berada di depan gawang gol kosong.

Bagaimanapun dengan Sweden menewaskan Mexico 3-0 dalam satu lagi perlawanan, ia sekali gus meleburkan impian Korea untuk mara ke pusingan kedua.

“Saya rasa sedikit kecewa kerana kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan gagal untuk melangkah ke pusingan kedua.

“Kemenangan ini sangat bermakna untuk penyokong dan kami sendiri. Kami sudah melakukan yang terbaik dan sangat gembira,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 1:52 PM