KUALA LUMPUR 22 JUN 2018. Timbalan Presiden, Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Akramuddin Ab. Aziz pada sidang media menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia. Sidang media berlangsung di ibu pejabat Persatuan Sepaktakraw Malaysia. NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD
KUALA LUMPUR 22 JUN 2018. Timbalan Presiden, Persatuan Sepaktakraw Malaysia, Datuk Akramuddin Ab. Aziz pada sidang media menjawab segala tohmahan yang dilemparkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia. Sidang media berlangsung di ibu pejabat Persatuan Sepaktakraw Malaysia. NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD
Sukan HM

KURANG 24 jam menjelang pemilihan jawatan tertinggi dalam Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), calon presiden Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan Timbalan Presiden, Datuk Abdul Jalil Ariffin, mengumumkan menarik diri daripada bertanding.

Sebaliknya, Akramuddin menegaskan hanya akan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada mesyuarat agung tahunan (AGM) PSM yang dijadual diadakan di ibu negara, petang esok.

Ini bermakna, pertandingan merebut jawatan Presiden bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Ismail dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Selangor, Datuk Markiman Kobiran.

Manakala Akramuddin pula bakal dicabar oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Perlis, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos.

 Bagi jawatan Naib Presiden, ia bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Kedah, Syed Husain Syed Abu Bakar Al Edroos dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah, Datuk Datuk Awang Sham Amit.

Tiga lagi calon ialah Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Sumali Reduan, Presiden Persatuan Sepaktakraw Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Abdul Razak Rahman.

"Terima kasih kepada dua persatuan negeri yang mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Presiden iaitu Kelantan dan Pulau Pinang.

“Kalau saya mahu merebut jawatan Presiden PSM pun tiada masalah kalah - menang adat pertandingan dalam persatuan,” kata Akramuddin.

 "Namun, selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, saya menarik diri dan berharap semua ahli gabungan memberikan kepercayaan kepada Datuk Seri Ahmad Ismail,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahmad dan beberapa pemimpin PSM, malam tadi.

Berikutan itu, Akramuddin mengumumkan beliau akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Ahmad untuk memajukan arena sukan sepak takraw Malaysia ke tahap lebih baik.

"Saya memang nampak keikhlasannya (Ahmad) menerajui PSM kerana saya adalah antara seorang daripada enam pemimpin yang dikenali sebagai '6 Jahanam' yang bersusah payah menaikkan beliau selaku presiden, pada 2013. 

 "Kami memang tahu visi dan misi beliau yang sentiasa bersama pemain dan bekas lagenda sepak takraw untuk mengembalikan zaman kegemilangannya dan ia boleh direalisasikan tidak lama lagi," katanya.

 Mengenai perebutan jawatan jawatan nombor dua, Akramuddin, berkata beliau yakin mampu mempertahankan kerusi nombor dua berkenaan kerana lawannya adalah muka baharu dan kurang dikenali ahli gabungan.

 "Bagaimanapun, saya terima cabaran beliau untuk bertanding jawatan timbalan presiden kerana kami adalah persatuan yang mengamalkan sistem demokrasi terpimpin.

“Jadi, saya akan bertanding dengan sesiapa sahaja yang mencabar jawatan yang saya pegang sekarang secara sihat," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Jun 2018 @ 2:49 PM