CRISTIANO Ronaldo memanaskan badan sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan Real Madrid menang 3-1 ke atas Liverpool di Kiev. FOTO Reuters
CRISTIANO Ronaldo memanaskan badan sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan Real Madrid menang 3-1 ke atas Liverpool di Kiev. FOTO Reuters
AFP

CRISTIANO Ronaldo memberi bayangan bahawa perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan Real Madrid menang 3-1 ke atas Liverpool di Kiev untuk kejuaraan ketiga Liga Juara-Juara berturut-turut, mungkin aksinya yang terakhir bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Ronaldo, 33, kini menjulang lima gelaran berkenaan secara peribadi, namun gagal menjaringkan gol apabila Gareth Bale tampil wira buat Real selepas diturunkan daripada bangku simpanan untuk meledak dua gol.

“Saya akan menikmati detik ini dan dalam tempoh beberapa hari lagi saya akan berikan jawapan kepada peminat yang sentiasa bersama saya,” kata Ronaldo.

“Seronok berada di Real Madrid. Saya akan bercakap mengenainya beberapa hari lagi.”

Ronaldo kemudiannya mengakui komen awalnya selepas perlawanan dibuat pada masa yang tidak sesuai.

“Mungkin ia bukan masa yang tepat. Saya tidak mahu mengalih perhatian terhadap apa yang dicapai Madrid. Menang tiga gelaran Liga Juara-Juara satu detik yang unik,” katanya.

“Situasi peribadi tidak penting ketika ini.”

Komen Ronaldo itu dikatakan ditujukan kepada Presiden Real Florentino Perez kerana kurang memberi sokongan terhadapnya.

Bagaimanapun, Perez turut membayangkan dia sudah bosan dengan drama Ronaldo dan membenarkannya meninggalkan kelab berkenaan.

Ini bukan kali pertama Ronaldo, yang menyertai Real dari Manchester United dengan rekod perpindahan dunia ketika itu pada 2009, hampir menuju pintu keluar di Santiago Bernabeu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 10:30 AM