SEKALIPUN berjaya di peringkat kelab bersama Barcelona, Messi tidak pernah menang kejuaraan utama antarabangsa bersama Argentina.
SEKALIPUN berjaya di peringkat kelab bersama Barcelona, Messi tidak pernah menang kejuaraan utama antarabangsa bersama Argentina.

MANCHESTER, England: Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli mengakui peluang juara dunia dua kali itu pada Piala Dunia di Russia lebih banyak bergantung kepada Lionel Messi berbanding pengaruhnya sendiri.

Sampaoli mengendalikan empat perlawanan terakhir Argentina pada pusingan kelayakan namun kecemerlangan Messi dengan hatrik ketika menang 3-1 di Ecuador pada perlawanan terakhir mereka memastikan La Albiceleste tidak terlepas ke Piala Dunia.

“Ini adalah pasukannya,” kata Sampaoli, menjelang aksi persahabatan menentang Itali di Stadium Etihad, awal pagi esok.

“Dia yang terbaik dan di peringkat kematangan yang membolehkannya mengemudi pasukan. Ia lebih kepada pasukannya berbanding saya.”

Sekalipun berjaya di peringkat kelab bersama Barcelona, Messi tidak pernah menang kejuaraan utama antarabangsa bersama Argentina.

Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu sekali lagi akan memikul harapan besar negaranya. Namun pada usia 30 tahun, ia mungkin peluang terakhir Messi untuk melengkapkan karier gemilang dengan kejuaraan Piala Dunia.

Penyerang Manchester City, Sergio Aguero tidak cergas untuk berdepan Itali kerana kecederaan hamstring dan Sampaoli berkata, dia juga tidak mungkin beraksi menentang Sepanyol di Madrid, awal pagi Rabu depan.

“Kami bercakap dengan City mengenai Aguero. Jika ada peningkatan ketara dia mungkin boleh bersama pasukan tapi saya lihat ia sukar kerana masa yang suntuk,” ujar Sampaoli. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 10:52 AM