Devinder Singh

 

BEKAS penyerang Inter Milan dan Chelsea, Hernan Crespo percaya Paulo Dybala mesti disenaraikan dalam skuad Argentina bagi saingan Piala Dunia di Russia tahun ini.

Dybala tidak disenaraikan dalam perlawanan persahabatan Argentina menentang Itali dan Sepanyol ketika Lionel Messi juga tidak bermain menyebabkan kekalahan 6-1 di tangan Sepanyol.

Crespo yang pernah bermain dalam tiga kempen Piala Dunia buat Argentina, berkata dia tidak faham dengan pemikiran pengurus Argentina, Jorge Sampaoli yang tidak memilih penyerang Juventus itu.

"Sebagai peminat, anda mahu faham apa yang jurulatih fikirkan tetapi bermain tanpa Dybala sesuatu yang tidak bagus," kata Crespo, 42, ketika tampil di Bandar Sunway, di sini, hari ini.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan kenapa Dybala tidak dipilih tetapi jika sesuatu terjadi kepada Messi, Dybala akan menjadi pengganti yang bagus.

"Sukar untuk memahami mentaliti jurulatih tetapi Dybala berhak ke Piala Dunia."

Crespo berharap Argentina akan menyelesaikan masalah pertahanan yang membawa kepada pasukan itu dibelasah Sepanyol.

"Kami adalah satu daripada pasukan pilihan kerana kami ada pemain hebat seperti Messi, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain tetapi kami perlu tahu bagaimana kami mahu bermain," kata Crespo.

"Piala Dunia akan menjadi sesuatu yang sukar untuk dimenangi kerana ada banyak lagi pasukan lebih baik daripada kami. Tetapi saya harap Messi boleh memimpin kami untuk mencipta kemenangan kerana generasinya berhak selepas tewas tiga final berturut-turut."

Argentina tewas final Piala Dunia 2014 0-1 kepada Jerman di Brazil sebelum kalah penentuan penalti kepada Chile pada final Copa America 2015 dan 2016.

Argentina akan berdepan Iceland, Croatia dan Nigeria dalam Kumpulan D Piala Dunia pada Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 7:31 PM
TONGGAK Juventus, Paulo Dybala perlu disenaraikan ke dalam skuad Argentina bagi saingan Piala Dunia di Russia. - Foto AGENSI
TONGGAK Juventus, Paulo Dybala perlu disenaraikan ke dalam skuad Argentina bagi saingan Piala Dunia di Russia. - Foto AGENSI