SOUTHGATE mungkin tiada akan menyenaraikan Hart dalam skuad England ke Piala Dunia. FOTO/AFP
SOUTHGATE mungkin tiada akan menyenaraikan Hart dalam skuad England ke Piala Dunia. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus England Gareth Southgate akan menyenaraikan 23 pemainnya untuk Piala Dunia esok dengan beberapa pemain berpengalaman seperti penjaga gol Joe Hart bakal diketepikan.

Laporan BBC dan Sky Sports hari ini melaporkan Hart yang memiliki 75 cap tidak akan berada dalam senarai tiga penjaga gol Southagate selepas menampilkan aksi hambar ketika dipinjamkan dari Manchester City ke West Ham.

Hart yang menjadi pilihan utama England dalam tiga kejohanan utama sebelum ini, mendapat sokongan Southgate selepas dikatakan melebihi keperluan Pep Guardiola memandangkan penjaga gol berusia 31 tahun itu kekal pilihan utama pada kempen kelayakan yang menyaksikan mereka tidak mencatat sebarang kekalahan.

Bagaimanapun Hart hanya beraksi sebagai kesebelasan utama dalam separuh kempen West Ham di Liga Perdana Inggeris musim ini dan bolos 39 gol daripada 19 penampilannya di liga.

Penyingkiran Hart bermakna trio berpengalaman iaitu Jordan Pickford, Jack Butland dan Nick Pope yang tidak pernah mewakili negara akan menjadi pilihan Southgate di depan gawang.

Pickford juga masih belum beraksi dalam kejohanan antarabangsa kompetitif manakala dua aksi kompetitif Butland sebagai kesebelasan utama hadir ketika menentang Lithuania pada 2015 dan 2017.

Jack Wilshere juga dijangka tersingkir biarpun dikatakan beraksi cemerlang pada penghujung musim bersama Arsenal.

Wilshere sebelum ini disenaraikan dalam skuad Southgate untuk perlawanan persahabatan menentang Belanda dan Itali Mac lalu, namun terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut yang menafikan peluang membuktikan kemampuannya.

Di bahagian pertahanan Phil Jones yang kembali cergas dan menemui sentuhannya bersama Manchester United akan bersaing dengan rakan sepasukan Chris Smalling dan kapten Chelsea Gary Cahill untuk merebut posisi dengan bek tengah pilihan Southgate iaitu John Stone dan Harry Maguire.

Bagaimanapun di bahagian serangan, Southgate memiliki banyak pilihan dengan Harry Kane dan Jamie Vardy kedua-dua berada di tahap terbaik mereka.

Southgate bakal berdepan dua lagi aksi persahabatan iaitu menentang Nigeria pada 2 Jun di Wembley dan Costa Rica lima hari kemudian untuk persiapan menjelang kempen Piala Dunia yang bermula dengan aksi menentang Tunisia pada 18 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 9:54 AM