Rodly Fadly


ATLET angkat berat yang gagal ujian doping tidak perlu diberi peluang kedua sebaliknya wajar disenaraihitamkan dan diharamkan daripada aktif dalam sukan berkenaan.

Langkah itu bakal menjadi pengajaran terbaik buat atlet lain serta dapat membendung gejala berkenaan daripada berulang sehingga menjadi kudis.

Saranan itu disuarakan bekas jaguh angkat berat negara, Samah Ali yang melihat pembabitan atlet dalam skandal doping sebagai sesuatu yang bukan saja memalukan sukan angkat berat malah mencemar maruah Malaysia di mata dunia.

Justeru, beliau berkata, sudah sampai masanya Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan ahli gabungannya menangani isu itu secara serius selepas beberapa atlet negara didapati bersalah mengambil bahan terlarang semasa menyertai temasya sukan antarabangsa.

“Atlet sebegini tidak perlu diberi muka atau peluang kedua kerana perbuatan menggunakan bahan terlarang untuk mencipta kejayaan adalah tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Ia bukan sekadar memalukan atlet terbabit atau sukan angkat berat sebaliknya turut mencemar nama negara. Bayangkan nama Malaysia disebut di serata dunia kerana isu ini, ia memang mengaibkan.

“Pada saya lebih bermaruah jika seseorang atlet kalah tanpa menggunakan dadah daripada memenanginya dengan bantuan bahan terlarang itu,” kata Samah.

Beliau yang pernah memenangi pingat emas Kejohanan Angkat Berat Asia 1977 (Singapura) dan 1979 (Filipina) serta Sukan SEA 1979 di Jakarta itu berkata, hukuman yang dikenakan ketika ini tidak setimpal dengan kesalahan.

Mengikut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), seseorang atlet yang terbabit menggunakan bahan terlarang boleh digantung sehingga empat tahun.

“Walaupun ada yang anggap penggantungan dikenakan sekarang sudah memadai tapi bagi saya ia tidak cukup. Mereka yang bersalah tidak sepatutnya diberi ruang untuk aktif lagi dalam sukan angkat berat.

“Persatuan patut mewujudkan undang-undang yang mengharamkan atlet yang terbabit gejala ini daripada mengambil bahagian dalam mana-mana pertandingan anjuran mereka dan tidak lagi dipilih mewakili sama ada pasukan negeri mahupun negara,” kata Samah yang mengakhiri kariernya dengan pingat gangsa Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Kem angkat berat negara sekali lagi terpalit dengan isu panas selepas atlet yang memenangi pingat gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, gagal ujian doping yang dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan kini menunggu keputusan sampel B.

Kes itu adalah rentetan kesalahan doping membabitkan atlet angkat berat selepas pemenang emas Glasgow 2014, Mohd Hafifi Mansor, Khairul Anuar Mohamad, Constantine Clement, Mohd Nasir Roslan selain pemenang tiga emas Sukan Komanwel 2002, Amirul Hamizan Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 12:35 PM