PEMAIN NS yakin kekal momentum selepas meraih kemenangan ke atas Kelantan pada aksi 14 April lalu. FOTO/FAIL
PEMAIN NS yakin kekal momentum selepas meraih kemenangan ke atas Kelantan pada aksi 14 April lalu. FOTO/FAIL
Mohd Amin Jalil

NEGERI Sembilan yang akan bertemu Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Cheras Sabtu ini, yakin mampu mengejutkan lawan mereka itu yang masih segar dengan kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA.

Selepas impian meraih kemenangan ke atas Kelantan pada aksi di tempat sendiri 14 April lalu tersasar angkara kesilapan dilakukan pada penghujung babak perlawanan, kini pemain Negeri Sembilan berharap perancangan mereka menjadi pada pertembungan dengan skuad Gergasi Merah sekali gus mencatat kemenangan kedua dalam saingan liga musim ini.

Tonggak pertahanan Negeri Sembilan Noor Hazrul Mustafa berkata, walaupun prestasi pasukan dalam empat perlawanan lalu kurang memuaskan, pemain tetap bersemangat untuk bangkit memburu kemenangan.

“Keputusan seri dengan Kelantan pada aksi di laman sendiri sebelum ini sememangnya mengecewakan dan ia nyata beri pengajaran berguna supaya kami tidak leka dan ulangi kesilapan yang boleh merugikan pasukan,” kata pemain kelahiran Sungkai, Perak yang mesra dipanggil Ooi itu.

“Kini kami fokus kepada usaha memperbaiki kelemahan bagi memantapkan lagi kekuatan pasukan bagi memastikan aksi lebih baik dapat dipamerkan pada perlawanan Sabtu nanti.

“Walaupun kami sedar Selangor bukan calang pasukan, apatah lagi dengan kejayaan mereka layak ke separuh akhir Piala FA yang sudah tentu mampu meningkatkan motivasi mereka, kami perlu berjuang habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan.”

Selepas menamatkan enam perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan yang terperosok di dasar liga sekadar mencatat satu kemenangan dan satu seri.

Noor Hazrul yang memasuki musim kedua bersama skuad Hobin Jang Hobin, yakin dengan perubahan dan penekanan dilakukan ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah sejak mengambil alih tugas itu awal bulan lalu.

“Saya dapat rasakan ada peningkatan dalam persembahan dan persefahaman antara pemain juga lebih baik.

“Bagi pertembungan dengan Selangor, walaupun sukar kerana beraksi di tempat lawan, ia sangat penting bagi kami mencapai kemenangan untuk keluar dari kedudukan sekarang sekali gus mengelak ketinggalan jauh dengan pencabar lain.

“Jika menjadi pilihan jurulatih, saya berjanji akan berikan persembahan terbaik dan percaya rakan sepasukan juga sudah sedia untuk berjuang bagi merealisasikan kemenangan kedua musim ini,” kata bekas pemain Kelantan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 5:53 PM