S SHAMALA
S SHAMALA
Saiful Affendy Sapran

TIMBALAN Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala mengesahkan akan bertanding untuk merebut jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, 5 Mei ini.

Shamala menegaskan, minat yang mendalam untuk berkhidmat di dalam bidang sukan mendorongnya untuk melakukan keputusan itu selepas sekian lama menjadi pemimpin kanan di MHC.

Selain menggalas tugas penting di MHC, Shamala juga tenaga pengajar dan Pengarah Akademi Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya sangat berminat dengan bidang pendidikan dalam sukan. Jadi, saya rasa MOM adalah tempat terbaik untuk berkongsi kepakaran yang saya ada.

“Banyak pihak yang menyokong saya untuk cuba bertanding jawatan naib presiden dan akhirnya saya ambil keputusan sama.

“Harap keputusan saya ini bukan saja demi kebaikan sukan hoki, malah dapat memberi sumbangan kepada sukan lain juga,” katanya.

Shamala bagaimanapun mengakui untuk merebut kerusi naib presiden bukan mudah kerana hanya satu saja slot diberikan untuk wanita daripada lima kerusi yang ditawarkan.

Penyandang jawatan itu ketika ini disandang legenda olahraga negara, Datuk Mumtaz Jaafar yang dijangka mempertahankannya dengan tarikh tutup pencalonan, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 2:10 PM